
Lelaki berusia 46 tahun itu ditahan setelah beliau enggan menjual minyak masak kepada anggota yang menyamar dengan alasan kedainya tidak dibuka.
Sekumpulan pegawai dan anggota KPDNHEP dengan kerjasama polis marin Wilayah Tiga Tok Bali serta Pasukan Gerakan Am (PGA) kemudian membuat serbuan di premis itu pada 12.45 tengah hari semalam.
Pemeriksaan di kedai runcit itu menjumpai 71 kotak minyak masak yang diletakkan di ruangan hadapan premis, kata Ketua Pegawai Penguat Kuasa KKPDNHEP Kelantan Aswadi Jaafar.
“Pemiliknya diminta menunjukkan resit pembelian dan resit jualan berkaitan minyak masak itu tetapi dia gagal mengemukakan dokumen terbabit,” katanya dalam kenyataan, lapor Harian Metro.
Tambahnya, lelaki itu juga mengaku bahawa 1,207 paket minyak masak itu sudah berada di premisnya sejak 19 Julai.
Kesemua minyak masak dianggarkan bernilai RM3,517.50 itu disita manakala pemilik premis ditahan bagi siasatan berkaitan menyorok barang kawalan atau memusnahkannya, enggan menjual barang kawalan dan gagal menyelenggara buku stok, menurut Aswadi.
Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 dan Peraturan Kawalan Bekalan (PKB) 1974.