Jabatan Peguam Negara teliti 30 kes kematian dalam tahanan NFA

Jabatan Peguam Negara teliti 30 kes kematian dalam tahanan NFA

Ia bagi menentukan sama ada prosedur dan tindakan mengikut undang-undang dipatuhi.

Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, Bahagian Pendakwaan Jabatan Peguam Negara memandang serius 30 kes kematian dalam tahanan yang diklasifikasikan tiada tindakan lanjut dari Januari 2015 hingga September 2021.
PETALING JAYA:
Jabatan Peguam Negara perlu meneliti semula 30 kes kematian dalam tahanan yang diklasifikasikan tiada tindakan lanjut (NFA) untuk menentukan sama ada prosedur dan tindakan mengikut undang-undang dipatuhi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, Bahagian Pendakwaan Jabatan Peguam Negara memandang serius 30 kes dari Januari 2015 hingga September 2021 itu.

“(Kita) akan memberi maklum balas lanjut setelah maklumat penuh mengenai setiap kes berkenaan diperolehi,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab pertanyaan R Sivarasa (PH-Sungai Buloh), daripada 79 laporan kes kematian tahanan dalam lokap polis dari Januari 2015 hingga September 2021, mengapa 30 kes diklasifikasikan NFA oleh pendakwa raya, sedangkan Seksyen 334 Kanun Acara Jenayah mewajibkan majistret melakukan inkuiri penuh atau inkues terhadap punca kematian dalam semua kes kematian dalam tahanan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.