
Zulkarnain Idros berkata, umum mengetahui bahawa punca kematian Zulfarhan dikaitkan dengan penderaan menggunakan seterika, justeru laungan seumpama itu nyata mengguris hati selain menyifatkan tindakan itu langsung tidak menunjukkan semangat kesukanan.
“Bagi saya mereka tidak menghormati kami sebagai keluarga arwah dan kalau boleh saya minta janganlah buat macam ini.
“Anak saya meninggal dengan keadaan yang tragis. Sudah tentu saya kecewa apabila kematian dia dijadikan bahan provokasi,” katanya, menurut laporan Majoriti.
Menurutnya, pegawai universiti yang dikatakan turut terlibat dalam sorakan itu sepatutnya menunjukkan teladan baik kepada pelajar dan bukan turut serta dalam provokasi yang menyentuh sensitiviti itu.
“Jujur, saya memang kecil hati dengan lagu yang mereka tujukan kepada Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM),” katanya lagi.
Pada 6 Julai lalu, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) muncul juara Piala Menteri Pengajian Tinggi buat julung kalinya mengalahkan UKM dengan mata 2-0 pada aksi final kedua di Stadium UKM, Bangi, Selangor.
Susulan itu, video tular memaparkan penyokong ‘Ultras’ UKM dilihat bersorak dengan laungan ” ‘Iron’ (seterika) untuk gosok baju” mengundang pelbagai persepsi warganet.