
Peguam Wee Yeong Kang, ketika dihubungi mengesahkan bahawa tarikh pendengaran itu ditetapkan dalam prosiding pengurusan kes, hari ini, di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan Suhaila Haron.
Menurut Bernama, Wee, yang mewakili Najib dan Nazifuddin, hadir pada prosiding itu, manakala LHDN diwakili peguam hasil Ainur Mardhiah Ramli.
Pada 10 Mei lalu, Najib dan Nazifuddin diberi kebenaran untuk meneruskan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan permohonan LHDN memasukkan penghakiman terus itu bagi mendapatkan semula lebih RM1.7 bilion cukai tertunggak daripada mereka.
Panel tiga hakim terdiri daripada Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat dan Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan Nallini Pathmanathan dan Mary Lim Thiam Suan memberi kebenaran kepada Najib serta Nazifuddin untuk merayu berkaitan sembilan persoalan undang-undang untuk diputuskan Mahkamah Persekutuan.
Pada 2020, dua Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan LHDN untuk memasukkan penghakiman terus bagi mendapatkan semula tunggakan cukai sebanyak RM1.69 bilion daripada Najib dan RM37.6 juta daripada Nazifuddin, bagi tempoh antara 2011 dan 2017.
Najib dan Nazifuddin gagal dalam rayuan mereka di Mahkamah Rayuan pada Sept tahun lalu bagi mengetepikan penghakiman terus itu.