RUU jenayah intip, hendap jangka dibentang tahun ini, kata Mas Ermieyati

RUU jenayah intip, hendap jangka dibentang tahun ini, kata Mas Ermieyati

RUU yang bakal diperkenalkan itu dijangka mampu melindungi mangsa khususnya wanita, daripada gangguan secara realiti atau dalam talian.

Rang Undang-Undang (RUU) itu dilihat seiring dengan RUU Anti-Gangguan Seksual, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Mas Ermieyati Samsudin.
PETALING JAYA:
Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan jenayah intip dan hendap dikenali sebagai ‘anti-stalking law dijangka’ akan dibentangkan di Dewan Rakyat, tahun ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Mas Ermieyati Samsudin, berkata buat masa ini, RUU tersebut berada di peringkat perincian terakhir di Jabatan Peguam Negara.

“Saya akan buat taklimat bersama Ahli Parlimen serta senator pada minggu depan mengenai RUU tersebut.

“Kita akan berikan pemakluman dan status terkini juga dengan semua pemegang taruh yang terlibat. Ia dilihat seiring dengan RUU Anti Seksual, kalau dapat dibentangkan tahun ini saya akan gembira sekali,” katanya kepada media selepas Persidangan Meja Bulat Wanita Bangkit 2022, di sini, hari ini.

Memetik laporan Bernama, Mas Ermieyati berkata, RUU yang bakal diperkenalkan itu dijangka mampu melindungi mangsa khususnya wanita, daripada gangguan secara realiti atau dalam talian.

“Dengan lulusnya RUU ini, ramai mangsa akan berani tampil ke hadapan selain ini hadiah buat mereka. Ini adalah sebahagian isu keselamatan yang kita boleh beri harapan kepada mangsa,” katanya.

Katanya, hasil daripada persidangan meja bulat yang berlangsung, hari ini, turut menggesa agar RUU berkaitan jenayah intip dan hendap itu dipercepatkan.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Rina Harun, berkata tiga resolusi dicapai melalui persidangan sama melibatkan kluster kepimpinan, kluster perundangan dan kluster sosioekonomi.

“Resolusi ini akan diserahkan kepada kerajaan bagi menambah baik dasar dan pelaksanaan termasuk Belanjawan 2023,” katanya.

Persidangan tersebut dianjurkan oleh Wanita Perikatan Nasional (PN) dihadiri oleh 75 wakil badan-badan bukan kerajaan dan organisasi termasuk individu profesional.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.