Media dilarang buat liputan taklimat tuntutan Sulu

Media dilarang buat liputan taklimat tuntutan Sulu

Isi kandungan taklimat itu termaktub mengikut Akta Rahsia Rasmi (OSA), malah senarai Ahli Parlimen yang menghadiri juga tidak akan dimaklumkan kepada media.

Petugas media menunggu di lobi Hotel Seri Pacific di mana Ahli Parlimen diberi taklimat mengenai tuntutan waris kesultanan Sulu.
KUALA LUMPUR:
Petugas media diarahkan tidak membuat liputan terhadap taklimat tertutup untuk Ahli Parlimen di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur, berhubung tuntutan waris Kesultanan Sulu kerana terikat Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Seorang pegawai kerajaan yang enggan dinamakan memberi amaran supaya pemberita di lokasi itu tidak menghampiri Ahli Parlimen dengan soalan mengenai taklimat berkenaan, selain menegaskan tiada sidang media akan diadakan, malam ini.

Menurutnya, isi kandungan taklimat itu termaktub mengikut OSA, malah senarai Ahli Parlimen yang menghadiri juga tidak akan dimaklumkan kepada media.

Ahli Parlimen yang dilihat memasuki premis itu termasuk Maria Chin Abdullah (Petaling Jaya), Teresa Kok (Seputeh), Mukhriz Mahathir (Jerlun), Azis Jamman (Sepanggar), Teo Nie Ching (Kulai), Shafie Apdal (Semporna) dan Sim Tze Tzin (Bayan Baru).

Turut dilihat, Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin dan Menteri Luar Saifuddin Abdullah.

Seorang pembantu Ahli Parlimen memaklumkan FMT, mereka turut tidak dibenarkan membawa telefon bimbit dalam sesi taklimat itu.

Ahli Parlimen dilihat meninggalkan telefon bimbit di kaunter pendaftaran.

Terdahulu, hari ini, Teo mendedahkan Ahli Parlimen menerima jemputan untuk taklimat tertutup berkaitan isu itu di Hotel Seri Pacific, malam ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Saifuddin, dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Mustapa Mohamed dijangka memberi taklimat itu.

Teo mengkritik taklimat berkenaan kerana menganggap kerajaan perlu menjawab soalan berhubung tuntutan waris Kesultanan Sulu di Dewan Rakyat dan bukan dalam sesi tertutup.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.