
Hakim Ahmad Kamal Md Shahid memutuskan Laidlaw – yang juga Peguam Diraja (Queen Counsel) tidak memenuhi syarat untuk kemasukan secara ‘ad-hoc’ di bawah Akta Profesion Undang-undang.
Laidlaw dihubungi Najib untuk mewakilinya dalam rayuan terakhir SRC International, dijadual didengar rayuannya oleh Mahkamah Persekutuan selama 10 hari, bermula 15 Ogos.
Bekas perdana menteri itu disabitkan dengan tujuh kesalahan berkait salah guna kuasa, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram bernilai lebih RM42 juta milik SRC International yang dimasukkan dalam akaun banknya.
Mahkamah turut menjatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta kepada Najib. Beliau dibenarkan ikat jamin sementara menunggu pendengaran di Mahkamah Persekutuan.
Ketika menyampaikan keputusan mahkamah, Kamal berkata, Laidlaw gagal menunjukkan dia memiliki kelayakan dan pengalaman khas yang tidak ada dalam kalangan peguam tempatan.
“Daripada semakan CV (Laidlaw), peguam itu juga tidak dapat menunjukkan bahawa kelayakan dan pengalamannya tidak dimiliki oleh mana-mana peguam di negara ini bagi tujuan berkenaan.
“Ini menimbulkan kebimbangan dan keraguan terhadap pengakuan kerana pemohon yang tidak mengetahui undang-undang tempatan, akan memberi manfaat kepada pengamal undang-undang tempatan,” katanya.
Hakim juga berkata, peguam tempatan mampu mengendalikan kes membabitkan pertuduhan mengikut Akta Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Kanun Keseksaan dan Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (Amla).
“Ini tidak mewajarkan keperluan Peguam Diraja itu diterima untuk tujuan rayuan SRC,” kata Kamal.
Hakim membuat perbandingan kes Laidlaw dengan seorang Peguam Diraja lain, Cherie Blair.
Blair, isteri bekas perdana menteri Britain Tony Blair, ingin dilantik oleh sebuah syarikat pada 2007 untuk mewakili mereka bagi pertikaian komersial di Mahkamah Persekutuan.
Mahkamah Persekutuan menolak permohonan untuk penerimaan masuk Blair dalam kes itu.
“Sama seperti Blair, dia tidak mewakili tertuduh (Najib) di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan.
“Ini menimbulkan keraguan sejauh mana hujah yang dibangkitkan oleh beliau akan membantu Mahkamah Persekutuan – sekiranya penerimaan masuk ‘ad-hoc’ dibenarkan,” kata Kamal.
Mahkamah tidak membuat keputusan berkaitan kos.
Peguam Shafee Abdullah, Harvinderjit Singh dan Rahmat Mohamed Hazlan mewakili Laidlaw dalam permohonan kemasukan ad-hocnya, manakala peguam Bastian Pius Vendargon dan Gurdial Singh Nijar masing-masing mewakili Badan Peguam Malaysia dan Badan Peguam Kuala Lumpur.
Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan mewakili peguam negara – yang merupakan pihak dalam prosiding itu, manakala pendakwa ad-hoc V Sithambaram dan Ashrof Adrin Kamarul hadir untuk pendakwaan di SRC International.