
Dia yang memakai baju T hijau dan berseluar jeans itu diiringi polis dan dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Sepang ke Penjara Kajang untuk menjalani hukuman penjara enam bulan.
Perkara itu disahkan oleh Ketua Polis Sepang Wan Kamarul Azran Wan Yusof, menurut laporan Sinar Harian.
Nor’muzil, 39, dijatuhi hukuman itu oleh Hakim Ahmad Rizki Abdul Jalil, hari ini, selepas mengaku bersalah membuat hantaran jelik menghina Islam menerusi rakaman video di aplikasi YouTube.
Berdasarkan pertuduhan, lelaki itu mengaku secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang jelik di YouTube dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.
Kesalahan itu dilihat pengadu di hadapan Shell Cyberjaya, 11.15 malam, pada 16 Jul.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Aling mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).
Sebelum ini, Nor’muzil direman selama empat hari, bermula Ahad, selepas kandungan penghinaan dibuat tular di media sosial.