
Kumpulan tersebut menyeru para pelajar dan golongan muda untuk berkumpul di kompleks itu pada 2 petang bagi meluahkan perasaan tidak puas hati berhubung kenaikan harga barangan.
“Rakyat makin sengsara tapi pak menteri masih bergaji tinggi,” katanya dalam pesanan di Telegram.
“Jumpa semua di Sogo, Sabtu ini jam 2 petang.”
Kumpulan itu berkata, mereka akan menuntut gaji menteri dipotong, langkah subsidi dikekalkan dan bantuan “bermaruah” disalurkan. Mereka turut menuntut kerajaan mengawal harga barangan dan menyelesaikan isu jaminan makanan.
Menurut kumpulan itu, Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi yang diketuai Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa ternyata gagal menangani masalah inflasi, walaupun telah ditubuhkan tiga minggu lepas.
“Selain daripada mengunjungi pasar pagi dan kedai runcit, kesemua anggota pasukan ini yang juga ahli Jemaah Menteri tidak mempunyai buah fikiran baharu yang berkesan untuk mengawal kenaikan harga barang serta menyalurkan bantuan kepada rakyat,” kata kumpulan itu.
Pada Julai tahun lepas, ratusan penunjuk perasaan berpakaian hitam berkumpul di luar Masjid Jamek untuk berarak ke Dataran Merdeka dalam protes #Lawan. Mereka menggesa peletakan perdana menteri ketika itu, Muhyiddin Yassin.
Muhyiddin akhirnya meletakkan jawatan pada pertengahan Ogos selepas beberapa ahli Parlimen Umno menarik balik sokongan kepadanya. Beliau digantikan oleh Ismail Sabri Yaakob.