
PTPTN dalam kenyataan berkata Apli diamanahkan untuk mengetuai agensi itu selama dua tahun bagi menggantikan Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan yang tamat kontrak pada 17 Jun.
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob menyerahkan surat lantikan kepada Apli di Parlimen semalam, yang turut disaksikan Menteri Pengajian Tinggi Noraini Ahmad.
Apli, 52, berkelulusan Ijazah Kepujian Kejuruteraan Bahan dari Universiti Sains Malaysia (USM) pada 1994 merupakan Ahli Lembaga Pengarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Ahli Lembaga Pengarah SME Corporation Malaysia dan Ahli Lembaga Pengarah MARA Incorporated Sdn Bhd.
Beliau juga merupakan Presiden Squash Racket Association of Terengganu dan Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu.
“Beliau sebelum ini pernah memegang jawatan sebagai pengerusi Tati Production Sdn Bhd dan Ahli Lembaga Pengarah PTB Securities Sdn Bhd.
“Semoga dengan pengalaman beliau dapat membantu PTPTN menjadi agensi kerajaan yang disegani sekali gus merealisasikan usaha PTPTN sebagai peneraju tabung pendidikan utama negara,” kata PTPTN.