PKR disaran contohi DAP, imbang komposisi pimpinan pusat

PKR disaran contohi DAP, imbang komposisi pimpinan pusat

Apa yang dilakukan DAP dalam membariskan anggota CEC boleh dijadikan kaedah bagi PKR menilai semula keseluruhan proses pemilihannya, kata Fahmi Fadzil.

Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil berkata, isu ketiadaan wakil berbangsa India dan pimpinan dari Sabah dan Sarawak dalam barisan MPP bukan isu yang sukar ditangani.
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil mencadangkan PKR mencontohi DAP bagi memastikan komposisi kaum yang seimbang, termasuk wakil Sabah dan Sarawak, dipilih sebagai Majlis Pimpinan Pusat (MPP).

Katanya, apa yang dilakukan DAP dalam membariskan anggota Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) boleh dijadikan kaedah bagi parti itu menilai semula keseluruhan proses pemilihan demi penambahbaikan komposisi jawatan.

Beliau berkata, DAP antara lainnya mensyaratkan 30% barisan CEC terdiri daripada pemimpin wanita.

“Saya lihat beberapa penambahbaikan dalam kalangan cara parti politik memilih pimpinan, contohnya CEC DAP … mereka menegaskan 30% daripada pimpinan mestilah wanita. Mungkin PKR perlu menilai keseluruhan proses pemilihan itu sendiri.

“Ini penting untuk memastikan kita boleh selaraskan atau tambah baik jumlah wanita, anak muda, perwakilan atau anggota MPP dari negeri dan juga berdasarkan kaum. Saya lihat ruang itu ada, masa pun ada dan bagi saya, itu mungkin menjadi harapan dalam kalangan rakyat,” katanya kepada FMT.

Fahmi berkata demikian ketika diminta mengulas ketiadaan wakil berbangsa India, serta pemimpin Sabah dan Sarawak mengisi 20 kerusi MPP bagi penggal 2022-2025.

Dalam pada itu, Fahmi berkata, beliau menghormati keputusan ahli dan perwakilan memilih pucuk pimpinan PKR, termasuk bagi MPP, baru-baru ini, sejajar sikap demokratik parti.

Katanya, isu ketiadaan wakil berbangsa India dan pimpinan dari Sabah dan Sarawak dalam barisan MPP juga bukan isu yang sukar ditangani, memandangkan Presiden PKR Anwar Ibrahim mempunyai kuasa untuk membuat lantikan.

“Proses pemilihan itu bersifat demokratik dan ia memang pertandingan, sama seperti proses pilihan raya, iaitu calon yang mempunyai jumlah undi tertinggi akan menang,” katanya.

Beliau yakin, Anwar akan menggunakan kuasa diperuntukkan kepadanya sebagai presiden untuk memilih wakil berbangsa India serta wakil Sabah dan Sarawak sebagai ahli MPP.

Dalam pada itu, Azmi Hassan daripada Akademi Nusantara berkata, berlaku “kesilapan” dalam proses pemilihan PKR kerana tumpuan terlalu dipusatkan pada meraih sokongan kepada kumpulan tertentu yang bertanding sehingga meminggirkan kepentingan wakil lain bagi semua peringkat.

“Kemungkinan kesilapan dari pihak atasan kerana tidak memberi inspirasi kepada ahlinya memilih demi menggambarkan PKR ialah parti berbilang kaum, selain menunjukkan mereka bukan sahaja ada kekuatan di Semenanjung, malah Sabah dan Sarawak,” katanya.

Beliau berkata, parti itu perlu kepada pembabitan menyeluruh kaum India dan rakyat Sabah dan Sarawak.

“Kalau dalam perebutan jawatan timbalan, naib presiden, ketua Pemuda dan ketua Wanita itu boleh diterima jika tiada wakil (berbangsa) India, dan dari Sabah dan Sarawak, tetapi dalam struktur MPP yang membuat dasar, ketiadaan wakil tiga golongan itu amat mengejutkan dan menyedihkan,” katanya kepada FMT.

Sementara itu, Awang Azman Pawi daripada Universiti Malaya berkata, ketidakseimbangan komposisi kaum dalam jawatan tertinggi PKR boleh mengundang kemerosotan sokongan masyarakat India dan masyarakat Bumiputera di Sabah dan Sarawak.

“Sudah semestinya pucuk pimpinan PKR perlu melantik wakil (berbangsa) India, pemimpin dari Sabah dan Sarawak dalam barisan kepimpinan pusat untuk memastikan parti itu kekal relevan sebagai parti berbilang kaum,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.