
Ketua Pengarah Imigresen Khairul Dzaimee Daud berkata, keputusan berkenaan dicapai dalam pertemuannya bersama Duta Besar Indonesia ke Malaysia Hermono kelmarin yang turut disertai pegawai kanan daripada Kementerian Sumber Manusia.
“Kedua-dua pihak telah bersetuju secara prinsip untuk mengintegrasikan SMO dengan OCS yang digunakan oleh Indonesia. Kedutaan akan mengambil tindakan sewajarnya selepas mendapat persetujuan daripada Jakarta,” katanya ketika menjadi tetamu dalam program Bicara Naratif bertajuk Imigresen: Transformasi Digital Asas Kecemerlangan di RTM1 malam tadi.
Khairul Dzaimee berkata, Kementerian Sumber Manusia juga telah menulis surat secara rasmi kepada Kedutaan Indonesia agar tenaga kerja dari negara berkenaan bagi sektor lain dibenarkan masuk ke Malaysia, sementara menunggu persetujuan secara prinsip itu dijadikan rasmi.
Semalam, Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin berkata, kerajaan dan pihak Indonesia telah memulakan perbincangan mengenai isu pembekuan pekerja dari negara itu.
Minggu lepas, Hermono memaklumkan mengenai keputusan Indonesia mengenakan pembekuan sementara ke atas semua pekerja negara itu daripada memasuki Malaysia sejak 13 Julai lepas.
Ini berikutan Jabatan Imigresen terus menggunakan SMO dalam urusan permohonan pembantu rumah warga asing oleh majikan, biarpun setelah kedua-dua negara bersetuju menggunakan satu saluran, iaitu OCS, menerusi memorandum persefahaman yang dicapai April lepas.