Kerajaan sasar penjimatan sehingga RM6 bilion daripada peruntukan mengurus, kata menteri

Kerajaan sasar penjimatan sehingga RM6 bilion daripada peruntukan mengurus, kata menteri

Menteri Kewangan berkata, penjimatan turut melibatkan pengurangan pembelian barangan import dan perbelanjaan ke luar negara.

Tengku Zafrul Aziz berkata, selain penjimatan kerajaan juga mencari pendekatan lain termasuk hasil baharu naik seperti harga minyak dan komoditi yang tinggi. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kerajaan mensasarkan nilai penjimatan antara RM5 bilion dan RM6 bilion daripada baki peruntukan mengurus tahun ini, demikian menurut Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz.

Tengku Zafrul berkata, penjimatan itu melibatkan beberapa perkara antaranya pengurangan pembelian barangan import dan perbelanjaan ke luar negara.

“Nilai 5% tidaklah besar mana, malah kalau dilihat (dalam Bajet 2022), perbelanjaan kita adalah RM332 bilion, perbelanjaan pembangunan pada tahun ini sebanyak RM75 bilion, subsidi mencecah RM77.7 bilion dan kita menjangka mungkin mencecah RM80 bilion.

“Walaupun sedikit, tetapi setiap sen dikira untuk kita membantu rakyat. Oleh sebab itu, kita terpaksa cari cara lain bukan sahaja daripada hasil baru naik seperti harga minyak dan komoditi yang tinggi, tetapi juga dengan cara penjimatan,” katanya menurut laporan Bernama.

Tengku Zafrul turut menegaskan bahawa, tiada projek yang akan dibatalkan tetapi (mungkin) terdapat projek yang boleh ditangguhkan untuk sementara waktu.

Menjawab persoalan mengenai kemungkinan terdapat cukai baharu yang akan diperkenalkan untuk membantu menambah hasil negara, beliau berkata tiada bentuk cukai baharu yang akan dibuat pada masa ini.

“Ekonomi kita masih lagi dalam keadaan mod pemulihan, justeru, tiada cukai baharu akan diperkenalkan. Bagaimanapun, dalam pengumuman Bajet 2022, dari segi hasil, kita ada memperkenalkan, sebagai contoh Cukai Makmur.

“Kerajaan akan terus fokus membantu kehidupan rakyat dan kelangsungan perniagaan kita,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.