Jangan cepat hukum pakai seksi, kambing pun kena rogol sampai mati, kata Fuziah

Jangan cepat hukum pakai seksi, kambing pun kena rogol sampai mati, kata Fuziah

Ahli Parlimen Kuantan berkata sikap menghukum tidak membantu mangsa rogol untuk membuat laporan atau aduan kepada pihak berkuasa.

Ahli Parlimen Kuantan berkata, kejadian rogol bukan sahaja membabitkan wanita seksi, malah warga emas dan binatang juga tidak terlepas daripada menjadi mangsa rogol pesalah seksual.
KUALA LUMPUR:
Seorang Ahli Parlimen pembangkang membidas sikap segelintir pihak yang cepat menghukum wanita yang berpakaian seksi yang dikatakan menjadi punca kejadian dirogol atau mendapat gangguan seksual.

Fuziah Salleh (PH-Kuantan) berkata, sikap menghukum itu tidak membantu mangsa-mangsa rogol untuk membuat laporan atau aduan kepada pihak berkuasa.

Beliau berkata, kejadian rogol bukan sahaja membabitkan wanita seksi, malah binatang juga tidak terlepas daripada menjadi mangsa perogol.

“Nenek 74 tahun kena rogol. Kanak-kanak lima tahun kena rogol. Remaja lelaki pun kena rogol.

“Malah kambing pun kena rogol sampai mati kambing itu. Adakah kata mereka berpakaian seksi. Jadi hujah-hujah (ini) tak rasional (untuk) bela nasib rakyat,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang (RUU) Anti-gangguan Seksual 2021 di Dewan Rakyat.

Dalam pada itu, Fuziah berkata sikap menghukum itu kadang kala tidak betul.

Beliau memberi contoh seperti berpakaian seksi punca diganggu.

“Itu sebenarnya sikap menghukum. Ianya tak bantu mangsa-mangsa buat aduan dan laporan,” katanya.

Semalam, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Rina Harun membentangkan RUU itu bagi bacaan kedua di Dewan Rakyat.

Antara lain dalam RUU itu, saman yang dikeluarkan oleh tribunal dicadangkan boleh dikuatkuasakan menyamai bidang kuasa mahkamah.

Kata Rina, RUU itu memperuntukkan pengecualian bidang kuasa mahkamah jika suatu aduan gangguan seksual sudah dibuat oleh mana-mana individu kepada tribunal.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.