
Beliau berkata, kajian melibatkan 57,000 responden itu dijangka siap pada Oktober ini.
“Kajian sedang dibuat dan akan siap pada Oktober tahun ini. Selepas siap, ia akan dibentangkan kepada kerajaan,” katanya di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab pertanyaan Charles Santiago (PH-Klang) yang meminta Zailah menyatakan adakah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mempunyai rancangan untuk memperkenalkan cuti haid dan subsidi tuala wanita sebagai sebahagian daripada perlindungan sosial untuk wanita dari keluarga B40.

Dalam pada itu, Zailah berkata pengenalan cuti haid memerlukan perbincangan lanjut dengan pihak berkepentingan seperti Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Kewangan, kesatuan sekerja dan pertubuhan majikan sebelum dipertimbangkan untuk dilaksanakan.
Katanya, ini kerana proses memperkenalkan cuti haid bukan sahaja melibatkan kesejahteraan wanita tetapi memberi implikasi dan produktiviti ekonomi negara.
“Buat masa ini terdapat kemudahan cuti sakit yang diperuntukkan oleh majikan kepada pekerja sektor swasta dan awam,” katanya.
Sebelum ini, Santiago menggesa penggubalan dan penguatkuasaan segera dasar yang menghendaki majikan membenarkan wanita bercuti sakit haid, jika mereka memerlukannya.
Katanya, ini akan menggalakkan kesetiaan dan produktiviti pekerja.
Beliau memberi contoh Jepun dan Indonesia berjaya melaksanakan dasar cuti haid.