Apa strategi ‘pujuk’ mangsa gangguan seksual buat laporan, soal Ahli Parlimen

Apa strategi ‘pujuk’ mangsa gangguan seksual buat laporan, soal Ahli Parlimen

Ahli Parlimen Jempol Mohd Salim Sharif berkata mangsa tidak membuat laporan kepada pihak berkuasa kerana takut dan malu serta dikhuatiri bakal menjejaskan kehidupan.

Rang Undang-undang (RUU) Anti-Gangguan Seksual dibentangkan untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat semalam. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Seorang Ahli Parlimen meminta kerajaan menyatakan kaedah yang akan digunakan untuk memupuk sifat berani kepada mangsa gangguan seksual membuat laporan kepada pihak berkuasa.

Mohd Salim Sharif (BN-Jempol) berkata, ini berikutan masih ramai mangsa tidak membuat laporan kepada pihak berkuasa kerana takut dan malu serta dikhuatiri bakal menjejaskan kehidupan mereka.

“Strategi apakah kerajaan akan tangani dan kaedah apakah akan digunakan untuk memupuk sifat keberanian (mangsa) membuat laporan.

“Ini kerana sekiranya laporan tidak dibuat, undang-undang tidak dapat dikuatkuasakan,” katanya di Dewan Rakyat semasa membahaskan Rang Undang-undang (RUU) Anti-gangguan Seksual 2021 di Dewan Rakyat.

Dalam pada itu, Salim berkata kementerian bertanggungjawab juga hendak menjelaskan kepada rakyat mengenai definisi gangguan seksual dan jenis gangguan supaya memahaminya dengan baik agar hak serta maruah mereka sentiasa terbela.

Katanya, hal ini kerana kesan dialami mangsa bukan saja boleh menjejaskan fizikal dan mental, malah ada antaranya sanggup membunuh diri akibat sukar melupakan peristiwa hitam yang dilalui.

Semalam, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Rina Harun membentangkan RUU itu bagi bacaan kedua di Dewan Rakyat.

Antara lain dalam RUU itu, saman yang dikeluarkan oleh tribunal dicadangkan boleh dikuatkuasakan menyamai bidang kuasa mahkamah.

Rina berkata, RUU itu memperuntukkan pengecualian bidang kuasa mahkamah jika suatu aduan gangguan seksual sudah dibuat oleh individu kepada tribunal.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.