
Kedua-duanya didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009 iaitu berkaitan kesalahan mana-mana pegawai badan awam yang menggunakan jawatan atau kedudukan untuk mendapatkan suapan.
Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.
Beliau berkata, pertuduhan dilakukan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, 8.30 pagi esok, lapor Utusan Malaysia.
Februari lalu, SPRM memulakan siasatan berhubung dakwaan salah guna kuasa dan salah urus membabitkan beberapa pegawai kanan Mara selepas tular dalam media sosial satu dokumen mengenainya.
Siasatan dimulakan dengan sesi merakam keterangan beberapa pegawai Mara Corporation (Mara Corp).
SPRM kemudian menyerbu sekurang-kurangnya tiga pejabat berkaitan Mara di ibu negara dan mengambil beberapa dokumen untuk membantu siasatan.
Pada 11 Feb lalu, SPRM mengambil keterangan lima pegawai kanan Mara berhubung dakwaan penyalahgunaan kuasa itu.
Isu salah guna kuasa dan salah urus Mara Corp didedahkan pemilik akaun Twitter menerusi ciapannya, yang turut melampirkan enam halaman surat berhubung isu integriti pegawai agensi di bawah kementerian pembangunan luar bandar itu.
Lima pegawai agensi itu yang dikaitkan dakwaan terbabit juga tampil membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi di Kuala Lumpur secara berasingan, menafikan terbabit perbuatan seperti didakwa.
Pada 14 Jun lalu, Ketua Pengarah SPRM Azam Baki memaklumkan, SPRM sudah mencadangkan beberapa nama kepada Jabatan Peguam Negara untuk dituduh.