Wanita mengaku tak salah curi 2 peket Milo

Wanita mengaku tak salah curi 2 peket Milo

Peguamnya Naran Singh menggesa peguam negara menggugurkan tuduhan terhadap anak guamnya itu.

Peguam Naran Singh bersama Suhaini Mohd di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu.
PETALING JAYA:
Seorang wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Marang selepas didakwa sekali lagi atas tuduhan mencuri dua peket Milo bernilai RM74.

Suhaini Mohd, 43, dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah pasar raya di Marang, pada 25 Mei.

Ibu beranak empat itu dibenarkan jaminan RM3,000 oleh Majistret Engku Nurul Ain Engku Muda, petang ini.

Kes telah ditetapkan untuk sebutan, pada 6 Sept.

Peguam bela Naran Singh berkata, Suhaini telah dibawa ke penjara di Pengkalan Chepa kerana prosiding hanya berakhir pada lewat petang.

“Kami sedang membantunya mengutip wang jaminan supaya dapat dibebaskan,” katanya kepada FMT.

Beliau bagaimanapun, menyuarakan harapan peguam negara dapat menggugurkan tuduhan terhadap anak guamnya itu.

Terdahulu hari ini, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu Hassan Abdul Ghani mengarahkan kes dibicarakan semula selepas mengetepikan sabitan dan hukuman penjara 14 bulan terhadap Suhaini.

Beliau memanggil kes itu selepas menarik perhatian susulan laporan media meluas.

Naran berhujah, pendakwaan hanya mengemukakan kepada majistret cetakan komputer polis bahawa Suhaini mempunyai rekod kesalahan lalu.

“Cetakan itu tidak sah. Pendakwaan sepatutnya mengemukakan sijil daripada pendaftar rekod jenayah Bukit Aman,” katanya.

Tambahan, katanya, pendakwaan turut mengemukakan empat lagi peket Milo dan dua peket Nescafe sebagai bahan bukti, sedangkan tidak relevan dengan tuduhan dihadapi Suhaini.

“Ini memprejudiskan pemikiran majistret seterusnya beliau memberi hukuman yang keras,” katanya.

Engku Nurul Ain, pada 5 Jul menjatuhi hukuman 14 bulan terhadap Suhaini selepas wanita itu mengaku salah.

Kejadian curi itu dirakam kamera keselamatan pasar raya itu dan pemiliknya mengekori Suhaini sebelum menahannya.

Suhaini meninggalkan motosikalnya di stesen bas Marang ketika melarikan diri. Susulan itu, polis mengesan alamatnya menggunakan nombor pendaftaran kenderaan itu dan Suhaini ditahan di rumahnya di Dungun, pada 6 jun.

Kesnya turut menarik perhatian ramai termasuk bekas menteri kesihatan, Dzulkefly Ahmad, yang menggesa pejabat pendakwa raya menunjukkan belas kasih terhadap Suhaini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.