Tangan kiri anggota tentera hancur, ‘dikisar’ rim motosikal

Tangan kiri anggota tentera hancur, ‘dikisar’ rim motosikal

Kejadian berlaku selepas baju panas dipakai anggota tentera berusia 37 tahun itu tersangkut pada gegancu motosikal.

Pasukan perubatan memberi bantuan kepada anggota tentera selepas tangannya hancur dan hampir putus akibat termasuk dalam rim motosikal. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Mengerikan. Begitulah situasi dialami seorang anggota tentera apabila tangan kirinya hancur dan hampir putus selepas termasuk dalam rim motosikal berhadapan Kem Syed Sirajuddin, Gemas, Tampin, pagi tadi.

Dalam kejadian 7 pagi itu, dua anggota tentera lelaki berusia 37 tahun dalam perjalanan dari Felda Pasir Besar ke kem tersebut dengan menunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR.

Ketua Polis Tampin Anuwal Ab Wahab, berkata sebaik tiba di hadapan Hospital Tentera Darat Kem Syed Sirajuddin, Gemas, secara tiba-tiba baju panas milik mangsa yang juga pembonceng tersangkut pada gegancu motosikal.

Katanya, ini menyebabkan baju itu berbelit dan mangsa terjatuh sebelah kiri motosikal. Pada masa sama, tangan kirinya masuk ke dalam rim,” katanya menurut laporan Bernama.

Berikutan itu, katanya, mangsa parah di tangan kiri yang hancur dan hampir terputus serta patah kaki kiri, manakala rakannya, yang merupakan penunggang motosikal, tidak cedera.

Anuwal berkata, mangsa kemudian dihantar ke Hospital Tentera Darat Tuanku Mizan di Kuala Lumpur untuk rawatan lanjut dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.