Malaysia tak akan bankrap seperti Sri Lanka, kata Tengku Zafrul

Malaysia tak akan bankrap seperti Sri Lanka, kata Tengku Zafrul

Menteri kewangan berkata ekonomi Malaysia jauh lebih kukuh berbanding Sri Lanka.

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata jika dibandingkan indikator ekonomi Malaysia dan Sri Lanka, jelas ekonomi kita jauh lebih kukuh.
KUALA LUMPUR:
Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz yakin Malaysia tidak akan bankrap seperti Sri Lanka memandangkan ekonomi negara jauh lebih kukuh.

Katanya, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) tidak pernah menyatakan Malaysia mengalami masalah ekonomi yang boleh mengakibatkan muflis, malah ia yakin dengan prospek pertumbuhan ekonomi Malaysia.

“Pada April tahun ini, IMF telah menyuarakan keyakinan bahawa keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara bagi 2022 akan berkembang pada kadar 5.75%.

“Kalau kita bandingkan indikator ekonomi Malaysia dan Sri Lanka, jelas bahawa ekonomi kita jauh lebih kukuh berbanding Sri Lanka.

“Jadi kemungkinan untuk negara bankrap seperti Sri Lanka adalah amat tipis,” katanya di Dewan Rakyat menjawab pertanyaan tambahan Ahmad Maslan (BN-Pontian) sama ada Malaysia akan menjadi seperti Sri Lanka.

Dalam pada itu, Tengku Zafrul berkata, kerajaan masih di peringkat awal pengujian mekanisme pemberian subsidi petrol secara bersasar.

Katanya, ia akan disusuli dengan pengujian lebih meluas dari segi beberapa kaedah lain dan kebolehlaksanaan mekanisme tersebut di kawasan bandar dan luar bandar.

Menurutnya, pembangunan dan pengujian sistem subsidi bersasar itu dijangka memerlukan tempoh antara tiga hingga enam bulan sebelum ia sepenuhnya bersedia untuk dilaksanakan di seluruh negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.