
Apa yang diperlukan sekarang ialah strategi untuk membendung masalah “brain drain” (pelarian intelektual) dan memberi motivasi kepada pekerja, menurut seorang veteran dalam sektor pembuatan.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Jebco Sdn Bhd Teh Kian An melihat andaian bahawa wujud kekurangan tenaga mahir dalam sektor pembuatan pincang.
“Kita sudah ada ramai pekerja terlatih di sini. Malangnya, kita tak guna mereka sepenuhnya,” katanya kepada FMT Business di Sungai Buloh, merujuk kepada masalah “brain drain”.

“Kita tak dapat berikan mereka motivasi dan ini membuatkan mereka pergi (mencari peluang) ke tempat lain.”
Teh berkata, Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) patut menjadi sasaran, dan beliau memberi jaminan bahawa ia tidak akan mengakibatkan kehilangan pekerjaan, seperti yang dikhuatiri kesatuan sekerja.
“Syarikat pembuatan akan memerlukan kakitangan mereka untuk menjadi lebih berkemahiran tinggi. Kualiti tenaga kerja boleh dipertingkatkan dengan membolehkan pekerja melakukan lebih banyak (tugas)
“(Dengan kemahiran lebih baik) mereka juga akan dapat gaji yang lebih baik. Ini juga akan meningkatkan daya pengeluaran, jadi syarikat kemudiannya dapat meningkatkan keuntungan untuk membayar mereka dengan (gaji) lebih baik,” katanya.
Beliau berkata, Jebco sudah pun melaksanakan strateginya untuk IR 4.0, dan ini akan dilakukan dalam empat fasa.
Fasa pertama, yang telah dilancarkan, melibatkan penaiktarafan jentera dengan peralatan terkini yang berautomasi tinggi. Pekerja sedang dilatih untuk mengendalikan mesin baharu.
“Berbanding sekadar menekan butang, seorang pekerja kini akan mengendalikan kawalan yang berbeza. Dengan automasi, setiap pekerja akan dapat mengendalikan hingga 10 mesin berbanding hanya satu dalam tempoh yang sama,” katanya.
Kerajaan telah memberikan jumlah sokongan yang adil kepada perniagaan untuk menetapkan sasaran ke arah IR 4.0, katanya.
Bagaimanapun, katanya, banyak lagi yang boleh dilakukan.
“Usahawan tidak seharusnya hanya bergantung kepada sokongan kerajaan. Kita harus mempunyai inisiatif untuk memperbaiki diri.
“Impian saya untuk Jebco adalah untuk melihat perniagaan dijalankan oleh jentera moden, seperti di negara maju. Ini akan membantu kami meningkatkan daya pengeluaran dan hasil,” katanya.
Teh mengambil Jepun, China dan Korea Selatan sebagai contoh negara yang telah mencapai daya pengeluaran, kecekapan dan ketepatan maksimum dengan tenaga kerja minimum.