Budak lelaki maut jatuh tingkat 35 kondo

Budak lelaki maut jatuh tingkat 35 kondo

Ibu mangsa berusia 36 tahun meninggalkan anaknya sedang tidur di ruang tamu rumah sebelum turun untuk membasuh pakaian di dobi.

Polis berkata mangsa dipercayai bangun dari tidur dan membuka pintu sliding sebelum memanjat kerusi yang berada di balkoni.
PETALING JAYA:
Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun ditemui mati selepas terjatuh dari tingkat 35 sebuah kondominium di Pandan Perdana, Ampang, Kuala Lumpur.

Ketua Polis Ampang Jaya, Mohamad Farouk Eshak, berkata pihaknya dimaklumkan kejadian itu selepas menerima panggilan daripada pengawal keselamatan kondominium itu, 2.20 petang semalam.

Katanya, siasatan mendapati, mangsa warga Indonesia dibawa ibunya yang bekerja sebagai pembantu rumah sambilan.

“Sebelum kejadian, ibu mangsa berusia 36 tahun meninggalkan anaknya sedang tidur di ruang tamu rumah sebelum turun ke bawah untuk membasuh pakaian di dobi.

“Semasa berada di bawah, ibu mangsa melihat orang ramai berkerumun di kawasan tingkat bawah dan mendapati mangsa adalah anaknya,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, dipercayai mangsa telah bangun dari tidur dan membuka pintu sliding sebelum memanjat kerusi yang berada di balkoni.

Katanya, mangsa merupakan anak bongsu daripada tiga beradik dan mayat dihantar ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) untuk bedah siasat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 31 (1) Akta Kanak-Kanak 2001 iaitu pengabaian terhadap kanak-kanak. Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Justeru, polis menasihati orang ramai supaya menjaga tingkah laku anak-anak dengan tidak meletakkan sesuatu yang mendatangkan bahaya kepada anak-anak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.