
Ini kerana beliau mengetahui identiti individu menandatangani dan meluluskan projek tersebut.
“Saya telah menerima laporan daripada Jabatan Perhutanan Kedah mengenai tragedi kepala air dan banjir di Baling, sekali gus melihat surat kelulusan bagi projek terbabit.
“Saya tahu siapa yang luluskan surat untuk projek musang king. Saya sudah ada kronologi daripada Jabatan Perhutanan tetapi tidak adillah merujuk kepada satu jabatan sahaja,” katanya menurut laporan Sinar Harian.
Ia susulan tindakan Speaker DUN Kedah, Juhari Bulat menolak dua usul tergempar yang dikemukakan dua ADUN pembangkang berkaitan isu banjir kepala air di Kedah dan usul menangguhkan mesyuarat DUN bagi membolehkan isu banjir kepala air dibincangkan.
Justeru, Sanusi berkata, pihaknya kini sedang menunggu laporan jabatan teknikal seperti Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bawah Kementerian Alam Sekitar dan Air dan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) bawah Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) untuk membuat kesimpulan punca kejadian kepala air dari Gunung Inas.
Beliau turut meminta pembangkang supaya tidak terus mempolitikkan isu tragedi kepala air dan banjir di Baling pada 4 Julai lalu.
Dalam perkembangan sama, Sanusi memaklumkan usul yang cuba dibawa pembangkang tidak mengikut peraturan sidang DUN Kedah.
“Peraturan dibuat bagi membolehkan ada masa cukup bagi pihak ingin membahaskan usul menyediakan jawapan.
“Jika isu dibangkitkan membabitkan teknikal memerlukan laporan jabatan, maka kerajaan perlu dapat laporan terbabit. Kita tidak boleh semborono cakap dalam dewan,” katanya.