
Harian Metro melaporkan, tertuduh, Amir Hasan Jalani, 34, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Zuhainie Zull Kafli.
Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa memandu lori secara melulu sehingga menyebabkan kemalangan membabitkan 11 kenderaan dan kesalahan itu dilakukan di Tambak Johor kira-kira 9.25 pagi, 7 Julai lalu.
Dakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda tidak melebihi RM15,000, jika sabit kesalahan.
Dalam prosiding sama, syarikat Level Hill Auto Parts Sdn Bhd menerusi wakilnya, Yap Shee Min, 34, turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melanggar syarat lesen pengendali lori kerana lori yang dipandu Amir, membawa lebih muatan.
Lori dipandu Amir didapati membawa muatan seberat 91,240kg berbanding 41,000kg yang dibenarkan dan perbuatan itu dilakukan di lokasi dan masa sama.
Syarikat itu didakwa mengikut Seksyen 57(1)(vi) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM500,000 atau dipenjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Hayatul Wirdah Mohd Yunos mengendalikan pendakwaan manakala tertuduh dan syarikat itu diwakili peguam, Bustaman Menon Abdul Hamid Menon.
Terdahulu, Hayatul Wirdah memohon mahkamah menetapkan jaminan RM10,000 manakala RM8,000 bagi syarikat itu.
Bagaimanapun, Bustaman Menon memohon jumlah itu dikurangkan kerana Amir Hasan mempunyai empat anak yang masih kecil dan isterinya hanya suri rumah serta memiliki pendapatan dianggarkan sebanyak RM1,500.
Mahkamah kemudian membenarkan dia diikat jamin sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin selain perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap dua minggu sekali manakala syarikat dibenarkan jaminan RM3,000.
Kes akan disebut semula pada 5 Sept depan.
Media melaporkan, lori yang membawa habuk batu merempuh 11 kenderaan di Tambak Johor pada 7 Julai lalu didapati membawa muatan melebihi had ketika kemalangan itu berlaku.
Kemalangan itu membabitkan sebuah lori, sebuah bas, sebuah van dan sembilan buah kereta dengan enam daripadanya adalah kenderaan tempatan, manakala enam yang lain bernombor pendaftaran negara asing.