Malaysia paling mudah dikunjungi pelancong pada pasca pandemik, kata menteri

Malaysia paling mudah dikunjungi pelancong pada pasca pandemik, kata menteri

Menteri Pelancongan berkata, salah satu penyumbang kepada kedatangan pelancong ialah polisi perlindungan insurans bukan prasyarat untuk warga asing memasuki negara ini.

Nancy Shukri berkata, kedatangan pelancong dipengaruhi oleh kelonggaran SOP, pengembara lengkap divaksinasi dan individu bawah 17 tahun dikecualikan daripada ujian Covid-19 pada pra pelepasan dan semasa ketibaan.
KUALA LUMPUR:
Malaysia adalah salah satu negara paling mudah untuk dilawati dalam era pasca pandemik Covid-19, kata Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Nancy Shukri.

Beliau berkata, ini termasuk kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) bermula 1 Mei lalu dengan pengembara yang telah lengkap divaksinasi dan individu bawah 17 tahun dikecualikan daripada ujian Covid-19 pra pelepasan dan semasa ketibaan.

“Polisi perlindungan insurans bukan prasyarat untuk warga asing memasuki negara ini,” katanya pada jamuan malam menjalin rangkaian dengan Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan Thailand (TTAA) di sini, hari ini.

Nancy berkata, Malaysia menyasarkan untuk meningkatkan kesedaran tentang bandaraya bersejarah Melaka sebagai tapak Warisan Dunia UNESCO dan pengiktirafan tersebut diharap dapat meningkatkan lagi kedatangan warga Thailand.

“Thailand adalah seperti abang besar kami dan kekal sebagai salah satu pasaran jarak dekat,” katanya.

Nancy berkata, Malaysia merekodkan lebih 1.8 juta ketibaan pelancong Thailand pada 2019 dengan hampir 70% adalah pengembara berulang untuk bercuti, membeli-belah dan melawat rakan dan saudara mara mereka.

Beliau berkata, aktiviti popular pelancong Thailand ialah bersiar-siar di bandar, membeli-belah dan melawat tapak bersejarah termasuk muzium dan negeri yang paling banyak dikunjungi ialah Kuala Lumpur, Selangor dan Pahang.

“Kami (Malaysia dan Thailand) bukan sahaja akrab sebagai negara jiran, tetapi Malaysia juga destinasi nilai untuk wang,” kata Nancy.

Bercakap kepada pemberita selepas acara itu, Nancy berkata, Malaysia menyasarkan dua juta pelancong Thailand melawat negara ini menjelang akhir tahun ini.

Nancy berkata, Malaysia mungkin menyemak semula bilangan kedatangan pelancong pada September ini memandangkan jumlah pelancong yang datang ke negara ini adalah menggalakkan pada masa ini.

Malaysia pada mulanya menyasarkan ketibaan dua juta pelancong sejak negara itu membuka semula sempadannya pada 1 April. Jumlah itu meningkat kepada 4.5 juta pelancong bulan lalu dan penyumbang utama ketibaan pelancong ialah dari Singapura diikuti India dan Thailand.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.