
Beliau berkata, jumlah kemasukan pesakit bergelaja ringan iaitu kategori 1 dan 2 juga merekodkan peningkatan sama pada 33%.
“Pengisian katil fasiliti Covid-19 bagi katil bukan kritikal meningkat 2.0% sementara katil unit rawatan rapi (ICU), meningkat 3.0%,” katanya dalam kenyataan.
Hisham berkata, bilangan kedatangan pesakit ke Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) pada ME28 meningkat sebanyak 23.1% kepada 10,193 berbanding 8,279 pada ME27.
“Daripada jumlah itu, bilangan kes Covid-19 baharu yang menjalani pemantauan di rumah meningkat sebanyak 41.3% atau 5,921 sementara kes dirujuk ke Pusat Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) meningkat 18.2% atau 299,” katanya.
Bagi trend kes aktif harian Covid-19 yang dipantau secara maya, beliau berkata, ME28 meningkat 33.8% atau 71,326 kes berbanding pada ME 27 iaitu 53,306 kes.
“Secara keseluruhan, jumlah kemasukan pesakit Covid-19 ke fasiliti kesihatan (hospital dan PKRC awam) bagi setiap 100,000 penduduk meningkat sebanyak 9.0% pada ME28 berbanding ME27,” katanya.
Purata nilai kadar kebolehjangkitan (Rt) juga tidak berubah pada 1.10 pada ME28.
Sementara itu, Hisham berkata jangkitan penyakit seperti Influenza (ILI) meningkat daripada 10.6% kepada 11.5% dari 10 hingga 16 Julai.