Bantah PJD Link, Ronnie Liu serah sendiri memorandum kepada Anwar

Bantah PJD Link, Ronnie Liu serah sendiri memorandum kepada Anwar

Liu berkata beliau amat memahami kebimbangan dibangkitkan kumpulan itu kerana beliau sendiri juga seorang penduduk Petaling Jaya.

Kebimbangan berhubung projek Lebuh Raya bertingkat Penyuraian Trafik Petaling Jaya akan dibincangkan dalam sidang dewan undangan negeri Selangor akan datang, kata Ronnie Liu.
PETALING JAYA:
Pemimpin DAP Selangor Ronnie Liu berkata, beliau akan menyerahkan sendiri memorandum membantah pembinaan Lebuh Raya bertingkat Penyuraian Trafik Petaling Jaya (PJD Link) kepada Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim.

Dalam sidang media anjuran gabungan berkenaan mengenai projek lebuh raya bertingkat kontroversi itu, Liu berkata beliau amat memahami kebimbangan dibangkitkan kumpulan itu kerana beliau sendiri juga seorang penduduk Petaling Jaya (PJ).

“Saya pasti akan memberikan memorandum berkenaan kepada majlis presiden PH, dan menyerahkannya sendiri kepada Anwar,” katanya.

Tambahnya, kebimbangan berhubung PJD Link akan dibincangkan dalam sidang dewan undangan negeri Selangor yang dijadualkan dari 27 Julai hingga 5 Ogos.

“Saya akan menggunakan platform dan peluang itu untuk mengatakan ‘tidak’ kepada PJD Link,” katanya.

Ahli dewan undangan negeri Sungai Pelek itu berkata, beliau tidak membantah konsep lebuh raya bertingkat, asalkan tidak melintasi kawasan berpenduduk.

Tambahnya, beliau menentang projek itu sejak sebelum ini apabila dikenali sebagai Lebuh Raya Kinrara-Damansara (Kidex), ketika beliau menjadi ahli exco Selangor.

“Kita mengatakan ‘tidak’ kepada Kidex dan PJD Link. Ia (PJD Link) sekadar penjenamaan semula (Kidex).”

Beliau turut mengulang kenyataan bersama menolak PJD Link yang ditandatangani Menteri Besar Selangor Amirudin Shari, Timbalan Pengerusi DAP Gobind Singh Deo, dan Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor Izham Hashim.

“Setahu saya kenyataan itu masih terpakai.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.