
Beliau menggesa Shahidan memberi jaminan berapa peruntukan yang diperlukan untuk memastikan Kuala Lumpur tidak mengalami banjir kilat lagi.
“Jawapan sebegitu saya dengar 15 tahun lalu sudah. Tetapi Kuala Lumpur banjir juga. Walaupun saya di Kinabatangan, tetapi saya pun ada rumah di Kuala Lumpur.
“Sidang dewan di Kuala Lumpur, apa jaminan menteri dan kerajaan yang Kuala Lumpur tidak banjir-banjir. Berapa peruntukan yang diperlukan untuk menjadikan Kuala Lumpur sebagai bandar yang terhebat di dunia ini, saya mahu jaminan dia,” katanya ketika mengajukan soalan tambahan di Dewan Rakyat.
Shahidan bagaimanapun menjelaskan yang beliau tidak menjawab soalan itu 15 tahun dahulu.

Selepas itu, Shahidan menjawab soalan tambahan kepada Bung dengan mengatakan berdasarkan tiga langkah diambil, Kuala Lumpur sudah tidak banjir sejak 25 April lalu.
Katanya, sudah tiga kali hujan lebat, tetapi banjir kilat dapat dielakkan.
“Tindakan serta-merta yang telah diambil di kawasan banjir kilat bagi memastikan kelancaran air adalah seperti menaiktaraf scupper drain, melaksanakan kerja pengorekan kelodak dan menyelenggara kolam takungan banjir, sungai dan parit induk.
“Selain itu, guni-guni pasir juga telah diletakkan di kawasan rendah untuk menahan limpahan air,” katanya.
Shahidan turut menyenaraikan tiga langkah diambil iaitu tindakan jangka pendek termasuklah menaiktaraf sistem saliran terutama di kawasan hotspot banjir, seperti memasang flap gate dengan izin di parit induk yang disalur ke sungai dan membina tembok penahan banjir.
Beliau berkata tindakan jangka sederhana yang dilaksanakan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) adalah melibatkan 8 cadangan projek mitigasi banjir.
“Antaranya di Jalan Sultan Salahudin dan Bulatan Datuk Onn, sekitar Jalan Raja Mahadi, Sungai Toba, Segambut dan sistem saliran Jalan Kuching,” katanya.
Katanya, bagi tindakan jangka panjang, pembinaan terowong simpanan air bawah tanah berskala besar di Kuala Lumpur sedang dirancang untuk dibina di bawah jajaran sungai atau jalan raya sedia ada.
“Saya yakin bahawa tindakan-tindakan yang sedang dan bakal dilaksanakan ini akan menjadikan Kuala Lumpur sebagai ibu negara yang bebas dari banjir kilat,” katanya.