Saya tetap tegas, lantang, ‘tak kisah’ jika Anwar kecil hati, kata Rafizi

Saya tetap tegas, lantang, ‘tak kisah’ jika Anwar kecil hati, kata Rafizi

Rafizi mengingatkan Anwar bahawa beliau bukan individu yang 'membuat janji manis, tapi tikam dibelakang' dengan merujuk kepada Azmin Ali.

Rafizi Ramli berkata beliau akan terus bersikap tegas pada parti kerana apa yang diperkatakan beliau merupakan ingatan buat parti.
SHAH ALAM:
Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli menegaskan beliau akan terus tegas dan lantang dalam membuat teguran walaupun menanggung risiko Anwar Ibrahim “kecil hati”.

Rafizi turut mengingatkan  beliau bukan Azmin Ali yang mengkhianati parti selepas menabur pelbagai janji mengenai kesetiaan kepada Anwar dan PKR.

Sebaliknya, harapan beliau hanya mahu diadili atas usaha dan kerja yang dilakukan untuk PKR.

“Saya tak mahu diangkat, dijulang, Kalau presiden nak kecil hati, kecil hati lah. Saya harap dihakimi, diadili atas usaha, kerja saya,” kata Rafizi dalam ucapannya di Kongres Nasional PKR.

Semalam, Anwar menegur Rafizi supaya tidak menggunakan kongres parti untuk memberi pandangan negatif berkaitan dirinya (Anwar), sebaliknya mahu timbalannya itu membuat teguran secara dalaman.

Ia susulan tindakan Rafizi mengulas tinjauan yang mendapati populariti Anwar sebagai ketua pembangkang mengalami kemerosotan ketika ini.

Antara lain, Rafizi berkata sekiranya beliau menjadi Anwar, beliau akan menerima dapatan kajian berkenaan kerana ia memberi kesan langsung kepada Pakatan Harapan (PH), menjelang pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Berucap di  kongres PKR hari ini, Rafizi mengingatkan Anwar bahawa beliau bukan individu yang “membuat janji manis, tapi tikam belakang,”  merujuk kepada Azmin yang keluar parti bersama sekumpulan Ahli Parlimen PKR untuk menyertai Bersatu.

Tindakan mereka membolehkan presiden Bersatu Muhyiddin Yassin menubuhkan gabungan Perikatan Nasional untuk menawan Putrajaya, sekali gus menjatuhkan PH yang berkuasa hanya 22 bulan.

“Saya nak sebut kepada Anwar. Saya mungkin lantang tapi saya bukan Azmin Ali. Saya telah buktikan saya tak berminat jawatan menteri.

“Saudara presiden, ingat, saya bukan buat janji manis tikam belakang. Saya tak pernah janji pasal (keluarkan) Anwar dalam penjara, untuk pecahkan tembok penjara, depan janji tapi belakang runding.

“Kami tumbuk tembok tak pecah-pecah, kami pusing satu Malaysia nak menangkan parti supaya dapat bebaskan Anwar dari penjara,” kata Rafizi.

Bekas Ahli Parlimen Pandan itu berkata, beliau akan terus bersikap tegas kerana “mulutnya tak akan manis sampai bila-bila” kerana apa yang diperkatakan merupakan ingatan buat seluruh PKR.

Rafizi turut menegur wakil rakyat yang sering mendampingi Anwar dalam sesi kempen dan mengingatkan mereka supaya melaksanakan tugas yang diamanahkan oleh rakyat.

“Kita tak mahu pimpinan yang hanya laung kesetiaan pada parti dan presiden, dan rakyat tak cukup halalkan kerana mereka tak buat kerja,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.