Kementerian mesyuarat esok bincang pembekuan pekerja Indonesia

Kementerian mesyuarat esok bincang pembekuan pekerja Indonesia

Kedua-dua Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Dalam Negeri akan bertemu esok untuk membincangkan isu pembekuan pekerja dan akan membuat keputusan.

M Saravanan diberi taklimat oleh salah seorang pengurus gerai pameran kerja itu. Di sebelah kanannya ialah Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Reezal Merican Naina Merican, yang juga Ahli Parlimen Kepala Batas. 
KEPALA BATAS:
Pegawai dari Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Dalam Negeri akan bertemu esok untuk membincangkan pembekuan pengambilan pekerja seperti mana diumumkan kerajaan Indonesia, kata M Saravanan.

Menteri Sumber Manusia itu berkata, mereka akan membincangkan cara untuk mengendali isu itu sebelum membuat keputusan.

“Kami memandang serius nasihat Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan karnival pekerjaan di sini hari ini.

“Kami (Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Sumber Manusia) akan mengadakan mesyuarat esok dan kami akan buat keputusan.”

Bagaimanapun, beliau tidak menjelaskan lebih lanjut mengenai perkara itu.

Respon daripada Saravanan itu dibuat susulan arahan Ismail semalam agar kedua-dua kementerian itu menyelesaikan isu kerana beliau tidak mahu masalah itu menjejaskan hubungan Malaysia dengan Indonesia.

Pada 13 Julai, Duta Besar Indonesia Hermono berkata, republik itu telah mengenakan pembekuan sementara ke atas semua pekerja Indonesia yang memasuki Malaysia.

Menurutnya, pembekuan sementara itu berikutan Jabatan Imigresen Malaysia terus menggunakan Sistem Pembantu Rumah Dalam Talian (MOS) bagi memudahkan pengambilan pembantu rumah warga Indonesia dan bukannya satu saluran iaitu “One Channel System” seperti dipersetujui dalam memorandum persefahaman (MoU) antara kedua-duanya negara.

MOS membenarkan pekerja Indonesia memasuki negara itu menggunakan visa pelancong sebelum memohon permit kerja, satu amalan yang ingin dihentikan oleh Jakarta kerana terdedah kepada risiko buruh paksa.

Sementara itu, Saravanan juga berkata, negara telah menyelesaikan MoU dengan negara sumber lain.

Beliau menambah, Bangladesh telah mula menghantar pekerjanya, dan suruhanjaya tinggi negara itu telah mula meluluskan permohonan daripada majikan untuk mengambil pekerja mereka.

Permohonan oleh majikan dijelaskan oleh jabatan buruh sebelum dihantar ke suruhanjaya tinggi untuk disahkan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.