JPPM minta PKR perjelas keputusan pemilihan parti

JPPM minta PKR perjelas keputusan pemilihan parti

Setiausaha agung PKR berkata, pihaknya menerima surat daripada JPPM pagi tadi berhubung pemilihan parti baru-baru ini.

Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya membincangkan perkara itu dengan peguam sejak 8 pagi tadi, selepas menerima surat daripada JPPM.
SHAH ALAM:
PKR menerima surat daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (JPPM) bagi menjelaskan keputusan pemilihan parti itu baru-baru ini.

Setiausaha Agungnya, Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya membincangkan perkara itu dengan peguam sejak 8 pagi tadi, selepas menerima surat itu.

“Pagi tadi dapat surat daripada JPPM, ada aduan kepada JPPM berkenaan proses pemilihan yang diadakan baru-baru ini.

“Sejurus dapat surat tu, saya adakan mesyuarat. Ini keadaan paling sukar, seolah-olah berlaku kepada DAP pada 2013 dan 2015,” katanya dalam Kongres PKR.

Pada 16 April lalu, seorang wanita membuat aduan kepada JPPM mendakwa dipecat daripada PKR tanpa pengetahuannya, sekali gus menafikan peluangnya untuk bertanding dalam pemilihan parti itu.

Wanita yang mendakwa menjadi mangsa gangguan seksual Ahli Parlimen Sungai Siput, A Kesavan pada tahun lalu itu, percaya terdapat komplot jahat untuk menghalangnya bertanding jawatan ketua bahagian.

Saifuddin berkata, pihaknya akan mengambil tindakan ke atas “watak pemecah belah dalam parti”.

“Apa guna tabur fitnah, kalau nak pecah belahkan sesama kita.”

Saifuddin turut berikrar akan mempertahankan parti daripada sebarang serangan.

“Tugas terakhir, untuk minit terakhir, saya Saifuddin Nasution akan mempertahankan parti,” tegasnya.

Terdahulu, Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil menyifatkan tindakan pihak yang membuat laporan kepada polis dan JPPM sebagai “menyerah tengkuk kepada musuh”, manakala Ketua Wanita, Fuziah Salleh menggesa parti “menyenaraihitamkan” individu yang berbuat demikian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.