Fokus kepada pencuri, rasuah, bukan Rafizi, Anwar beritahu perwakilan

Fokus kepada pencuri, rasuah, bukan Rafizi, Anwar beritahu perwakilan

Anwar Ibrahim menegaskan beliau tidak berkecil hati dengan kritikan bekas ahli Parlimen Pandan itu terhadapnya.

Anwar Ibrahim berkata Rafizi Ramli terkenal dengan pandangan kontroversinya dan justeru itu, beliau tidak berkecil hati dengan kritikan bekas ahli Parlimen Pandan itu terhadapnya.
SHAH ALAM:
Presiden PKR Anwar Ibrahim memberitahu perwakilan parti itu supaya menumpukan perhatian dalam usaha memerangi “pencuri” termasuk kegiatan rasuah, berbanding hanya menumpukan perpecahan yang dilihat berlaku antara beliau dan timbalannya Rafizi Ramli.

Menyatakan Rafizi terkenal dengan pandangan kontroversinya, tegas Anwar, beliau tidak berkecil hati dengan kritikan bekas Ahli Parlimen Pandan itu terhadapnya.

“Hati Rafizi berada di tempat yang betul. Masalahnya ialah ada penyokong kita yang bisu,” kata Anwar dalam ucapannya di Kongres Nasional PKR.

“Mereka tidak faham kita (Rafizi dan beliau) bersama-sama dalam perjuangan ini. Kadang-kala memang ada perbezaan pandangan yang sengit, tetapi ini bukan orang khianat. Dia cuma bela atas pendapat sendiri, bukannya orang yang menyebarkan khabar angin, melakukan kegiatan ‘pencuri’ mahupun rasuah.

“Kita di sini untuk memerangi pencuri dan rasuah! Tumpukan perhatian anda pada usaha itu,” katanya.

Sebelum ini, Rafizi mengeluarkan beberapa kenyataan yang dilihat sebagai kritikan terhadap Anwar sejak dua hari dulu.

Antaranya termasuklah desakan Rafizi supaya ahli parti tidak semata-mata memberikan kesetiaan ‘buta’ kepada presiden, sebaliknya memberitahu mereka untuk terus berusaha bagi memperbaiki parti menjelang PRU15.

Dalam pada itu, Anwar berkata tugas pertama Rafizi adalah membantu jentera pilihan raya parti itu sebagai persiapan berdepan PRU15, di mana peranan itu akan diambil alih daripada bekas Ketua Wanita PKR dan Pengarah Pilihan Raya Pusat Fuziah Salleh.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.