‘Buatlah laporan polis beramai-ramai, saya tak takut,’ Najib beritahu Rafizi

‘Buatlah laporan polis beramai-ramai, saya tak takut,’ Najib beritahu Rafizi

Bekas perdana menteri itu juga menolak dakwaan beliau berbohong di media sosial dan mengatakan apa yang ditulisnya adalah berdasarkan fakta.

Najib Razak berucap di hadapan ahli Umno Pahang baru-baru ini. Beliau berkata hari ini beliau tidak takut dengan ugutan oleh PKR berhubung hantarannya di media sosial. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Najib Razak mencabar ahli PKR membuat laporan polis terhadapnya setiap kali beliau didakwa berbohong di media sosial dan berkata, beliau tidak sesekali takut.

Ketika menepis dakwaan bahawa beliau telah berbohong, bekas perdana menteri itu berkata, apa yang ditulisnya di Facebook adalah berdasarkan fakta dan ada asas kepada apa yang beliau katakan.

Beliau juga berkata, pembohongan di media sosial bukanlah satu jenayah melainkan ia menghasut rakyat untuk turun ke jalan raya.

Dan jika pembohongan sebenarnya satu jenayah, Timbalan presiden PKR Rafizi Ramli, dakwanya, sudah 10 tahun meringkuk dalam penjara.

“Buatlah ramai-ramai polis report. Saya tak pernah takut sebab saya tak tipu macam kamu,” katanya di Facebook.

Najib juga menyifatkan Rafizi sebagai pengecut berikutan bekas ahli parlimen Pandan ‘menghilangkan diri’ selama dua tahun daripada politik sebelum membuat penampilan semula.

Awal hari ini, Rafizi dalam ucapan sulungnya sebagai orang nombor dua parti, menyeru ahli di seluruh negara untuk membuat laporan polis terhadap Ahli Parlimen Pekan itu, setiap kali beliau membuat kenyataan untuk mengelirukan rakyat.

Rafizi, juga melabel Najib sebagai pengecut, menurut New Straits Times.

Baru-baru ini Rafizi berkata, beliau bercadang untuk membuat laporan polis terhadap Najib kerana kecuaiannya semasa memerintah, menyebabkan harta kerajaan seperti Petronas terdedah kepada rampasan.

Beliau berkata demikian berikutan laporan bahawa waris Sultan Sulu telah mendapat perintah rampasan terhadap dua anak syarikat Petronas yang berdaftar di Luxembourg selepas Malaysia diarah membayar sekurang-kurangnya RM62.59 bilion kerana menyerahkan kedaulatan ke atas Sabah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.