Selesaikan isu pekerja Indonesia, KDN dan Kementerian Sumber Manusia digesa

Selesaikan isu pekerja Indonesia, KDN dan Kementerian Sumber Manusia digesa

Dewan Perniagaan dan Perindustrian Antarabangsa Malaysia menyifatkan keputusan Indonesia itu memberi 'kesan berganda' terhadap banyak sektor yang sudah berdepan gangguan rantaian bekalan.

Pengarah Eksekutif Dewan Perniagaan dan Perindustrian Antarabangsa Malaysia, Shaun Cheah berkata, kekurangan buruh adalah kritikal dan memberi kesan buruk kepada hasil negara, walaupun terdapat permintaan eksport.
PETALING JAYA:
Sebuah kumpulan perniagaan menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Sumber Manusia lebih berusaha dalam menyelesaikan isu tenaga kerja, selepas Indonesia membekukan sementara penghantaran pekerjanya ke Malaysia.

Dewan Perniagaan dan Perindustrian Antarabangsa Malaysia (Micci) menyifatkan keputusan itu memberi “kesan berganda” terhadap banyak sektor yang sudah pun berdepan gangguan rantaian bekalan.

Pengarah Eksekutif kumpulan itu, Shaun Cheah berkata: “Industri sedang berusaha pulih dan memenuhi permintaan. Pekerja asing dari Indonesia amat diperlukan, khususnya dalam sektor pembinaan dan perladangan.

“KDN dan Kementerian Sumber Manusia perlu berusaha keras untuk menyelesaikan isu ini,” katanya kepada FMT.

Republik itu baru-baru ini memetik pelanggaran perjanjian pengambilan pekerja yang ditandatangani Jakarta dan Putrajaya sebagai punca sekatan sementara itu dilaksanakan.

Duta Besar Indonesia, Hermono dilaporkan berkata, ini disebabkan penggunaan berterusan Sistem Maid Online (MOS) oleh Jabatan imigresen Malaysia dalam pengambilan pembantu rumah dari negara itu.

Cheah menegaskan masalah kekurangan tenaga kerja dalam negara adalah kritikal dan memberi kesan buruk kepada hasil negara, walaupun terdapat permintaan eksport.

“Kerajaan nampaknya menumpukan audit cukai agresif dan mewujudkan sumber cukai tidak langsung yang inovatif, bukannya memastikan sektor eksport dan pelancongan menjana hasil sewajarnya,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Agensi Pekerjaan Malaysia, Foo Yong Hooi berkata, pembekuan itu dijangka berterusan selagi Jabatan Imigresen menggunakan MOS.

“Duta besar Indonesia memaklumkan perkara itu kepada empat persatuan agensi pekerjaan dalam satu mesyuarat beberapa bulan lalu. Beliau memberi amaran kepada kami bahawa agensi swasta yang didapati menggunakan MOS akan dilarang daripada menerima akreditasi.”

Tambahnya, Kementerian Sumber Manusia turut memberi amaran supaya tidak campur tangan atau lesen mereka akan dibatalkan.

Foo berkata, pembekuan itu akan menjejaskan semua sektor dan pihak terlibat, khususnya agensi pekerjaan swasta dan pembantu rumah.

“Ini tidak adil. Indonesia sepatutnya membenarkan sektor pembuatan dan perladangan mengambil tenaga kerja kerana isu MOS tidak melibatkan sektor formal.”

Katanya, Kabinet perlu membincang dan menyelesaikan isu MOS secepat mungkin.

Terdahulu, Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin ketika mengulas keputusan Indonesia itu berkata, tenaga kerja masih boleh direkrut dari negara lain, termasuk Bangladesh.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.