PH sedia pertimbang lanjutan MoU, kata Salahuddin

PH sedia pertimbang lanjutan MoU, kata Salahuddin

Timbalan presiden Amanah itu berkata PRU15 juga boleh ditarik sehingga pertengahan tahun depan kerana kerajaan stabil diperlukan menangani permasalahan rakyat.

Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub, berkata Pakatan Harapan (PH) sedia mempertimbang lanjutan memorandum persefahaman (MoU) yang akan tamat pada 31 Jul.
PETALING JAYA:
Pakatan Harapan (PH) sedia mempertimbang lanjutan memorandum persefahaman (MoU) antara kerajaan memandangkan ia membantu mengurangkan ‘politiking’, termasuk mengelak pembubaran Parlimen lebih awal, kata Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub.

Katanya, MoU sedia ada yang akan tamat pada penghujung bulan ini membuktikan kerajaan dan PH saling membantu terutama dalam Parlimen.

“Sebagai contoh, kalau Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob datang kepada kita (PH) untuk berunding soal MoU, kita sedia timbang kerana ini untuk kepentingan bersama rakyat.

“Menerusi MoU sedia ada, kita sudah buktikan bahawa apabila kita tandatangan, kita sama-sama bantu dan tidak berlaku ‘politiking’ dalam Parlimen, bajet tahun lepas lulus dengan persetujuan majoriti dan banyak juga usul kerajaan yang kita terima,” katanya menurut Utusan Malaysia.

MoU antara kerajaan dan PH yang bakal tamat pada 31 Jul ditandatangani, pada 13 Sept 2021 bertujuan untuk memastikan kestabilan politik dalam negara.

Salahuddin ketika mengulas lanjut, berkata, pihaknya terbuka untuk menandatangani MoU dengan kerajaan bertujuan memastikan tiada pihak yang berterusan merebut jawatan dalam kerajaan.

“Kita mahu kerajaan sedia ada stabil hingga pilihan raya umum ke-15 (PRU15) yang boleh ditarik sehingga pertengahan tahun depan kerana mahu kerajaan memberi tumpuan sepenuhnya terhadap kesejahteraan rakyat,” katanya.

Justeru, katanya tiada lagi cubaan permainan politik untuk membubarkan Parlimen dalam tempoh terdekat, sebaliknya menumpukan demi menyelesaikan masalah rakyat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.