PH ‘gila’ serang kerajaan hari-hari, tapi takut tarik balik MoU, kata Najib

PH ‘gila’ serang kerajaan hari-hari, tapi takut tarik balik MoU, kata Najib

Bekas perdana menteri itu menggambarkan PH sebagai gila kerana masih menyokong MoU walaupun mendakwa kerajaan hari ini sebagai tidak kompeten, korup dan perkauman.

Najib Razak berkata Pakatan Harapan (PH) tidak berani menarik sokongan terhadap memorandum persefahaman (MoU) walaupun menyerang pentadbiran Ismail Sabri Yaakob, setiap hari. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Najib Razak mempersoalkan keengganan Pakatan Harapan (PH) menarik balik sokongan terhadap memorandum persefahaman (MoU) ditandatangani dengan kerajaan walaupun gabungan itu menyerang pimpinan Ismail Sabri Yaakob setiap hari.

Bekas perdana menteri itu, berkata gabungan pembangkang bertindak mendakwa pentadbiran kerajaan hari ini antaranya tidak kompeten, korup dan perkauman.

Bagaimanapun, katanya, apabila digesa MoU ditarik, gabungan itu tidak mahu melakukannya.

“Masih mahu sokong kerajaan yang mereka kritik sebagai tak kompeten, perkauman, tak mampu jaga inflasi dan menyusahkan rakyat.

“Giler (gila) ke apa, korang?” katanya dalam hantaran di Facebook.

Ahli Parlimen Pekan itu juga membidas sindiran Barisan Nasional (BN) sebagai ‘Barang Naik’ merujuk kepada kenaikan harga barang yang sedang berlaku.

Katanya, BN tidak ada di United Kingdom dan Amerika Syarikat walaupun kadar inflasi di kedua-dua negara itu meningkat melebihi 9%, iaitu paling tinggi sejak 40 tahun lalu.

Kerajaan Ismail menandatangani MoU dengan PH tahun lalu untuk bersetuju bekerjasama mengembalikan kestabilan politik dan memberi ruang kepada kerajaan menguruskan pandemik Covid-19, termasuk memulihkan semula ekonomi.

Beberapa penganalisis berpandangan, PH bergantung kepada perjanjian dimeterai susulan kebimbangan pilihan raya lebih awal, dengan beberapa pimpinan Umno termasuk Najib mendesak pembubaran Parlimen segera.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.