
Pengerusi DAP itu berkata isu itu timbul pada waktu yang salah ketika negara sedang berdepan tekanan inflasi, ringgit yang lemah dan kekurangan buruh yang menyebabkan ramai pihak mengecilkan perniagaan.
Katanya, dengan negara kekurangan 1.2 juta pekerja, industri perladangan dan sarung tangan berdepan kerugian sebanyak RM21 bilion, sambil menambah angka itu mungkin lebih tinggi jika sektor lain dimasukkan.
“Keadaan terdesak ini memalukan kerana ia boleh diselesaikan dengan mudah dengan satu coretan pena (tandatangan) atau campur tangan peribadi perdana menteri.
“Daripada campur tangan secara peribadi dalam isu ekonomi dan diplomatik yang begitu besar, Ismail Sabri Yaakob sebaliknya mewakilkan Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Dalam Negeri untuk menyelesaikan isu tersebut,” katanya dalam kenyataan.
Ahli Parlimen Bagan itu berkata menteri terlibat, M Saravanan dan Hamzah Zainudin bertanggungjawab menimbulkan masalah itu sejak awal lagi, sambil menambah bahawa komuniti perniagaan dan rakyat mahukan penyelesaian segera kepada kepincangan itu.
Lim menyifatkan respons Saravanan sebagai “menyedihkan dan tidak bertanggungjawab” apabila Indonesia berkata Malaysia melanggar syarat-syarat ditetapkan dalam perjanjian itu.
“Saravanan tidak mempertikaikan tuduhan Duta Besar Indonesia Hermono tetapi hanya berkata beliau akan mengadakan perbincangan segera dengan KDN,” katanya.
Hermono sebelum ini berkata Indonesia mengenakan pembekuan sementara ke atas penghantaran pekerjanya ke Malaysia disebabkan penggunaan berterusan Sistem Maid Online (MOS) oleh Jabatan Imigresen Malaysia dalam pengambilan pembantu rumah dari negara itu.
Ini membolehkan pekerja Indonesia memasuki negara ini menggunakan visa pelancong sebelum memohon permit kerja.
Di bawah memorandum persefahaman ditandatangani antara kedua-dua buah negara mengenai pengambilan dan perlindungan pembantu rumah, proses membawa masuk pembantu rumah hanya melalui satu saluran iaitu One Channel System (OCS) untuk melindungi hak pembantu rumah.