Koperal parah dilanggar kenderaan disyaki dipandu penyeludup

Koperal parah dilanggar kenderaan disyaki dipandu penyeludup

Mangsa, Muhamad Khairul Syafiq Ahmad, 31, sedang bertarung nyawa di zon merah Hospital Kulim akibat pendarahan serius di kepala.

Seorang koperal yang juga anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) parah dipercayai dilanggar seorang pemandu kereta berusia 45 tahun yang didapati positif dadah dan mempunyai tiga rekod jenayah. (Gambar PDRM)
PETALING JAYA:
Seorang koperal polis kritikal akibat mengalami pendarahan otak dan pecah tulang tengkorak apabila dilanggar kenderaan dipandu seorang lelaki dipercayai penyeludup minyak.

Mangsa, Muhamad Khairul Syafiq Ahmad, 31, yang bertugas di Balai Polis Hi-Tech masih tidak sedarkan diri dan sedang bertarung nyawa di zon merah Hospital Kulim akibat pendarahan serius di kepala.

Dalam kejadian 9.20 pagi, hari ini, Khairul bersama rakan dari Unit Rondaan Bermotosikal (URB) sedang mengejar kenderaan jenis Nissan Frontier dipandu seorang lelaki.

Ketua Polis Kulim Mohd Redzuan Salleh, berkata sebelum itu, seorang lelaki yang juga saksi kejadian memberitahu, dia ternampak dua motosikal URB sedang mengejar kenderaan pacuan empat roda yang datang dari Politeknik Kulim menuju ke Jalan Sungai Ular.

“Saksi terbabit mendakwa dia ketika itu sedang berhenti keretanya di persimpangan lampu isyarat dan melihat anggota URB mengejar serta meminta suspek memberhentikan kenderaan.

“Bagaimanapun, suspek secara tiba-tiba melanggar anggota polis terbabit sehingga mangsa terjatuh daripada motosikalnya,” katanya menurut Harian Metro.

Redzuan berkata, melihatkan kejadian itu, saksi terbabit terus mengejar kenderaan suspek yang ketika itu menuju ke Pekan Kulim sebelum dia menghala ke Bukit Mertajam menggunakan laluan Machang Bubok.

“Siasatan mendapati suspek memandu kenderaannya secara berbahaya dan melulu sepanjang perjalanan sehingga melanggar beberapa buah kenderaan lain.

“Suspek kemudian memandu masuk ke Lebuhraya Sungai Dua dan membelok ke simpang Bagan Jermal, Seberang Perai sebelum dia menuju sehingga ke jalan mati di sebuah kawasan perumahan,” katanya.

Beliau berkata, pemeriksaan mendapati suspek berusia 45 tahun itu yang berasal dari Sungai Petani positif dadah dan mempunyai tiga rekod jenayah.

Redzuan tidak menolak kemungkinan suspek terbabit dalam kegiatan penyeludupan minyak memandangkan kenderaan dipandu sudah diubahsuai dengan meletakkan tangki minyak di belakang.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 307/186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Kes turut disiasat mengikut Seksyen 42 (1) dan Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya sehingga menyebabkan kecederaan parah.

“Bagi kesalahan mengubahsuai kenderaan, kes disiasat mengikut Seksyen 6 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Difahamkan, mangsa yang sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak itu sudah sembilan tahun berkhidmat dalam pasukan polis.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.