
PETALING JAYA: Polis menasihatkan orang ramai supaya tidak terlibat dengan sebarang perhimpunan atau flashmob bagi membantah kenaikan harga barang.
Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pihaknya juga akan mengesan sebaran video di media sosial yang mengajak orang ramai menyertai perhimpunan atau flashmob berkenaan.
“Masyarakat dinasihatkan supaya tidak menyertai sebarang aktiviti flash mob atau perhimpunan yang tidak mematuhi syarat mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012.
“Tindakan tegas akan diambil oleh polis terhadap mana-mana penganjurnya atau peserta yang gagal mematuhi undang-undang,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, beberapa flashmob bagi membantah kenaikan harga barang telah diadakan di beberapa tempat di negara ini.