
Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh, berkata JPPM sudah mengambil masa cukup lama iaitu dua bulan untuk membuat keputusan berhubung permohonan Umno berkenaan.
“Sebagai orang Umno, parti Umno dah buat keputusan (pinda perlembagaan) …Maka kami semua ahli-ahli parti mendukung keputusan parti dan kami semua mengharapkan JPPM meluluskanlah,” katanya kepada pemberita ketika ditanya berhubung permohonan pindaan perlembagaan Umno itu.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan tinjauan harga barangan di Pasar Ketereh.
Annuar yang juga menteri komunikasi dan multimedia, berkata beliau faham JPPM terpaksa mengambil masa untuk membuat keputusan sama ada meluluskan atau tidak permohonan itu kerana ia mempunyai implikasi undang-undang.
“JPPM dia ada kuasa. Jadi kami tunggu JPPM buat keputusan dan kami mendoakan, saya secara peribadi, saya harap JPPM meluluskan apa yang telah (diluluskan) oleh Perhimpunan Agung Khas Umno,” katanya.
Sehingga semalam, Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan, memaklumkan JPPM belum memberi keputusan terhadap permohonan pindaan perlembagaan Umno selepas notis itu dikemukakan kepada JPPM, pada 17 Mei.
JPPM dalam kenyataan ringkas kepada Bernama, pada 7 Jul, memaklumkan keputusan berhubung permohonan pindaan perlembagaan Umno akan diketahui selewat-lewatnya, hari ini.
Umno meluluskan pindaan perlembagaan parti yang membolehkan pemilihan parti diadakan tidak melebihi tempoh enam bulan selepas pilihan raya umum, untuk memberi ruang kepada ahli fokus kepada gerak kerja pilihan raya.