
Yang dipertuanya, Nasrudin Hassan, berkata skuad itu terdiri daripada ilmuan agama yang mempunyai kemahiran memberikan dakwah kepada orang ramai.
Katanya, penubuhan skuad itu dibuat selepas kejadian menghina Islam di negara ini semakin berleluasa, sejak mutakhir ini.
“Yadim berperanan untuk menjadi perisai dan menangkis penghinaan atau serangan pemikiran yang dihalakan kepada Islam. Jadi, dengan adanya skuad ini kelak, ia akan menjawab segala persoalan berkata isu yang diutarakan.
“Skuad ini akan memberi dakwah di alam siber, mereka ini akan menjawab segala penghinaan berkaitan Islam di media sosial. Kalau lihat mutakhir ini begitu galak orang mempersenda Islam, namun tiada individu yang tampil menjawab ‘serangan’ itu secara berstrategi dan terancang,” katanya menurut Berita Harian.
Katanya, sebelum ini, tindakan menjawab penghinaan dan serangan ke atas Islam dibuat atas kapasiti peribadi semata-mata.
Mengulas lanjut mengenai skuad berkenaan, Nasrudin berkata, pihaknya akan memilih mereka dalam kalangan mereka yang mempunyai ilmu agama dan berperwatakan seorang da’i.
“Sebab di luar sana mungkin ada mereka yang dikurniakan ilmu tetapi seni berdakwah itu kurang, malah menjadikan media sosial itu tempat bergaduh dan bukannya platform menyampaikan maklumat dan dakwah secara berhemah.
“Kita tidak mahu lah nanti bila ada isu, skuad ini akan bergelut dan bergaduh dengan pengguna media sosial pula, perkara itu lebih kepada membawa ke suasana tidak terkawal seterusnya memberi imej negatif kepada Islam,” katanya.
Beliau berkata, ciri bagi pendakwah diserap bagi skuad itu antaranya berilmu dan mempunyai kemahiran dakwah yang baik dengan mereka yang layak akan bergerak sebagai satu pasukan terancang.
“Saya lihat kini sudah ramai pendakwah dan saya perhati di media sosial pun dan ada individu yang mampu menulis dengan baik dan mempunyai hujah serta berdisiplin yang tinggi namun bergerak secara individu,” katanya.