
Ketua Polis Iskandar Puteri, Rahmat Ariffin, berkata dua suspek itu ditahan di Pos Pemeriksaan Kastam laluan masuk Singapura ke Malaysia di Kompleks Sultan Abu Bakar, Tanjung Kupang pada 9.15 malam Khamis.
“Kedua-dua suspek yang berusia 46 dan 18 tahun itu mengaku terbabit dalam kes khianat berkenaan sebelum ditahan untuk siasatan. Kedua-dua suspek direman sehari bermula hari ini.
“Menerusi maklumat awal, suspek dipercayai tidak berpuas hati kerana kenderaannya dihalang serta bergesel dengan kenderaan mangsa ketika kejadian,” katanya menurut Harian Metro.
Isnin lalu, polis dilaporkan mengesan dua suspek terbabit dalam kejadian khianat dekat CIQ Kompleks Sultan Abu Bakar, Gelang Patah pada 10 Julai lalu.
Dalam kejadian 10 pagi Ahad lalu, Toyota Alphard dipandu mangsa mengubah laluan ke kanan dan bergesel dengan kereta KIA dinaiki dua suspek dari arah kanan.
Suspek dilapor memberhentikan kenderaan dan melaungkan perkataan lucah serta menunjukkan isyarat lucah kepada mangsa, manakala suspek wanita mencabut nombor pendaftaran kenderaan mangsa dan mencampaknya ke arah cermin hadapan.
Mangsa yang dilaporkan dalam perjalanan pulang dari Forest City ke Singapura tidak mengalami sebarang kecederaan, tetapi keretanya mengalami kerosakan.