
Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah, berkata proses demokrasi sepatutnya menentukan berapa lama seorang ahli Parlimen berkhidmat di kawasan tertentu, dengan pengundi memutuskan siapa yang mereka mahu untuk mewakili mereka.
“Sebab itu kita ada peti undi. Jika pengundi tidak berpuas hati dengan kerja ahli Parlimen, mereka tidak akan mengundi mereka lagi. Begitulah cara demokrasi berfungsi,” katanya kepada FMT, sambil menegaskan bahawa perlu ada had penggal untuk perdana menteri.
Bagaimanapun, Maria berkata, ahli Parlimen dalam tempoh ketiga atau empat penggal mereka adalah “digalakkan” untuk memberi laluan kepada muka baharu.

Sementara itu, Pengerusi Bersih Thomas Fann berkata had penggal berkhidmat bagi ahli Parlimen adalah tidak perlu kerana ia akan menyekat pertumbuhan dan pembangunan wakil rakyat.
Fann berkata Dewan Rakyat akan dipenuhi dengan “kohort tetap” ahli Parlimen yang tidak berpengalaman, dan ini akan termasuk bakal perdana menteri dan anggota Kabinet mereka.
“Jika perdana menteri juga dihadkan kepada dua penggal atau 10 tahun, ia bermakna perdana menteri perlu menjadi ahli Parlimen penggal pertama atau kedua,” katanya kepada FMT.
Maria dan Fann turut bersetuju dengan Ahli Parlimen Kluang Wong Shu Qi, yang berkata had penggal tidak diperlukan untuk ahli Parlimen kerana mereka tidak mempunyai kuasa eksekutif.
Bagaimanapun, penganalisis politik Azmi Hassan dari Akademi Nusantara menegaskan bahawa had penggal perlu dikenakan ke atas ahli Parlimen.

Beliau berkata pilihan raya negeri baru-baru ini menunjukkan bahawa pengundi mahukan muka baharu untuk mewakili mereka, sambil memetik ramai calon kali pertama memenangi kerusi pada pilihan raya negeri Melaka, Sarawak dan Johor.
Walaupun ahli Parlimen tidak mempunyai kuasa eksekutif, Azmi berkata, akan sentiasa ada keperluan untuk ahli Parlimen yang mempunyai idea dan perspektif segar.
Ahli Parlimen akan kurang cenderung untuk membentangkan idea baharu “semakin lama mereka kekal dalam perkhidmatan, walaupun untuk tiga atau empat penggal”.
Beliau juga berkata menghadkan penggal akan dapat menghentikan budaya ‘warlords’ dalam parti politik.
“‘Warlords’ ini adalah veteran politik, dan kita perlu hadkan penggal bagi ahli Parlimen untuk mengelakkan budaya ‘warlords’ mengawal parti dan menetapkan hala tuju politik kita,” katanya.