
Lokasi itu dipercayai menjadi pusat pelbagai aktiviti tidak sihat membabitkan pengedaran dadah, judi dalam talian, lokasi memproses air ketum, jualan rokok seludup, lokasi orang dikehendaki bersembunyi serta ahli kumpulan gengster tinggal.
Ketua Polis Kedah, Wan Hassan Wan Ahmad, berkata melalui Operasi Cantas pada hari pertama Rabu lalu, yang menyasarkan rumah terpilih, seramai 26 individu terdiri 22 lelaki dan empat perempuan ditahan.
“Daripada 22 lelaki, enam daripadanya merupakan orang dikehendaki kerana terlibat kes jenayah dan dadah selain menjadikan rumah di situ untuk bersembunyi.
“Kita turut merampas pelbagai jenis dadah, rokok seludup pelbagai jenama, air ketum dan barangan curi,” katanya menurut Utusan Malaysia.
Wan Hassan berkata, pada hari kedua serbuan petang semalam, seramai 14 individu lelaki termasuk dua daripadanya merupakan orang dikehendaki serta dua perempuan diberkas.
“Rampasan tembaga, komponen alat ganti kenderaan yang dipercayai hasil kegiatan curi turut dirampas bersama sejumlah dadah, rokok seludup dan air ketum.
“Jumlah tangkapan selama dua hari itu seramai 36 lelaki dan enam wanita berusia antara 18 hingga 50 tahun, dan semakan mendapati ada antaranya mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya.
Katanya, polis turut mengeluarkan 78 saman trafik kepada penduduk yang melakukan pelbagai kesalahan lalu lintas sepanjang dua hari operasi.
Menurutnya, Operasi Cantas itu melibatkan 300 pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda yang turut dibantu 160 pegawai dan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA).
“Semua tangkapan dibawa ke IPD Kuala Muda untuk proses dokumentasi bagi membantu siasatan bawah Seksyen 15(1)a, Seksyen 12(2), Seksyen 6, Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya serta Seksyen 135(1)(D) Akta Kastam dan Seksyen 30(3) Akta Racun,” katanya.