Pacuan 4 roda guna siren, lampu kecemasan milik polis

Pacuan 4 roda guna siren, lampu kecemasan milik polis

Menurut polis, kenderaan jenis Mitsubishi Triton itu sedang dalam penugasan ketika melalui KM239 Lebuh Raya Utara Selatan arah selatan.

Mior Faridalathrash Wahid berkata polis tidak mengesan sebarang salah laku atau salah guna kuasa dalam kejadian itu. (Gambar Bernama)
IPOH:
Sebuah kenderaan pacuan empat roda yang menggunakan siren dan lampu kecemasan bagi mendapatkan laluan di lebuh raya seperti yang tular dalam rakaman video adalah milik polis.

Ketua Polis Perak Mior Faridalathrash Wahid berkata hasil pemeriksaan mendapati kenderaan jenis Mitsubishi Triton dengan nombor pendaftaran VHE5415 itu sedang dalam penugasan ketika melalui KM239 Lebuh Raya Utara Selatan arah selatan.

“Ketika itu, sepasukan pegawai polis daripada Bahagian (D4) Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Perak telah berjaya menangkap dua lelaki di daerah Taiping kerana terlibat dalam satu sindiket curi kenderaan mewah.

“Pasukan tersebut bersama-sama suspek yang ditahan terus dibawa ke IPK untuk tujuan siasatan lanjut. Atas faktor keselamatan serta tugas rasmi, pasukan serbuan telah menggunakan siren dan lampu kecemasan bagi mendapatkan laluan pantas ketika melalui laluan yang sesak,” katanya dalam kenyataan.

Mior berkata pihaknya tidak mengesan sebarang salah laku atau salah guna kuasa dalam kejadian itu dan meminta masyarakat agar melakukan semakan dengan pihak berwajib dahulu sebelum membuat sebarang hebahan yang mengelirukan.

Terdahulu, video berdurasi 14 saat yang tular di media sosial itu difahamkan direkod Selasa lepas yang menunjukkan sebuah kenderaan pacuan empat roda berwarna putih menggunakan siren dan lampu kecemasan untuk diberikan laluan di lebuh raya berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.