Kunci Ferrari antara barang kes diambil di rumah SM Faisal, saksi beritahu mahkamah

Kunci Ferrari antara barang kes diambil di rumah SM Faisal, saksi beritahu mahkamah

Barang kes itu diambil Muhamad Shahmi Yusof, 37, dari Cawangan Fotografi (D6), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields selain merakam 11 keping gambar di rumah ahli perniagaan itu.

SM Faisal SM Nasimuddin didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Emila Hanafi sebuah rumah di Desa Sri Hartamas, Brickfields, antara 12.30 tengah hari dan 4.30 petang, 22 Nov 2015. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Seorang jurufoto polis memberitahu Mahkamah Majistret hari ini bahawa, beliau telah mengambil 12 keping gambar lokasi tempat kejadian dan satu kunci kereta Ferrari di sebuah rumah didiami ahli perniagaan SM Faisal SM Nasimuddin dan bekas isterinya, di Desa Sri Hartamas tujuh tahun lalu.

Muhamad Shahmi Yusof, 37, dari Cawangan Fotografi (D6) Bahagian Teknik, Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields, berkata kesemua gambar itu dirakam pada 27 Nov 2015 selepas beliau menerima arahan daripada pegawai penyiasat kes itu iaitu Rosnani Ramli.

“Saya bersama Rosnani telah pergi ke rumah tersebut. Saya telah mengambil sebanyak 11 keping gambar tempat kejadian dan satu gambar barang kes. Saya menggunakan kamera jenis digital Canon EOS model 60D dan imej gambar disimpan di dalam kad memori,” katanya.

Saksi pendakwaan ketiga itu berkata demikian semasa membacakan pernyataan saksinya dalam perbicaraan kes SM Faisal yang didakwa menyebabkan kecederaan terhadap bekas isterinya, Emilia Hanafi.

Ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Nur Aishah Ahmad Zakiuddin, saksi itu berkata, antara gambar yang diambil adalah bahagian hadapan rumah, ruang menonton televisyen, bilik tidur utama rumah tersebut dan satu barang kes iaitu kunci kereta jenis Ferrari.

Kepada soalan Nur Aishah, siapa berada di tempat kejadian semasa saksi itu pergi ke rumah berkenaan, Muhamad Shahmi menjawab, OKT (orang kena tuduh) SM Faisal.

Nur Aishah: Adakah SM Faisal yang dimaksudkan berada di tempat kejadian.

Muhamad Shahmi: Ya, saya camkan (sambil memandang ke arah SM Faisal yang berada dalam kandang tertuduh).

Sementara itu, semasa pemeriksaan balas oleh peguam SM Faisal, Akberdin Abdul Kader, saksi itu berkata, SM Faisal yang membuka pintu rumah ketika beliau dan pegawai penyiasat tiba di rumah berkenaan.

Akberdin: Siapa buka pintu rumah itu, SM Faisal atau pembantu rumahnya?

Muhamad Shahmi: SM Faisal yang buka.

Akberdin: Awak pasti ke?

Muhamad Shahmi: Pasti.

Mengikut pertuduhan, SM Faisal, 43, didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Emila, 43, yang merupakan isterinya (ketika kejadian) di sebuah rumah di Desa Sri Hartamas, Brickfields antara 12.30 tengah hari dan 4.30 petang, 22 Nov 2015.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 326A kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Majistret Nadia Othman bersambung 1 Ogos ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.