
Katanya, kerajaan PH sebelum ini tidak berbuat sesuatu apabila waris Sulu memulakan tindakan selepas mendakwa kerajaan Malaysia tidak membuat bayaran kepada mereka sejak kemangkatan Sultan Sulu Jamalul Kiram II.
“Pendirian mereka adalah tidak mengiktiraf tuntutan daripada pihak yang mendakwa waris Sulu dan sebab itu mereka tidak menghantar atau melantik peguam untuk mempertahankan kita di mahkamah timbang tara, di Paris, masa itu,” katanya di Facebook.
Beliau berkata demikian sebagai respon terhadap kenyataan Rafizi yang bercadang membuat laporan polis kerana mendakwa Ahli Parlimen Pekan itu cuai ketika era pemerintahannya sehingga mengakibatkan Petronas terdedah kepada rampasan.
Najib berkata, waris Sulu membawa tuntutan ke mahkamah timbang tara, pada 2019, ketika PH berkuasa.
Katanya, tindakan menghentikan pembayaran tahunan kepada waris Sulu (selepas pencerobohan terhadap Sabah pada 2013) disokong mendiang Karpal Singh dan mendiang Dr Chen Man Hin, kedua-duanya daripada DAP dan Dr Mahathir Mohamad.
Najib berkata, walaupun kerajaan PH mengambil pendirian tidak mengiktiraf tuntutan pihak yang mendakwa waris Kesultanan Sulu, namun peguam negara ketika itu, Tommy Thomas pula menulis surat untuk mengaku kesal dan mengiktiraf waris Sulu serta menawarkan untuk membayar tunggakan RM48,300.
Tidak lama selepas itu, katanya, satu persatu menteri kerajaan PH cuba “lepas tangan” dengan enggan mengaku tidak tahu yang Tommy menghantar surat berkenaan.
“Tak ambil berat untuk bincang dalam kabinet kerajaan PH, tak hantar peguam untuk mengambil bahagian dan menulis surat untuk mengaku kesal dan salah pulak, mahu kita tak kalah?
“Akhirnya, Rafizi pula tuduh saya perkauman sebab nak salahkan Tommy,” katanya.
Pada Selasa, Financial Times melaporkan waris kesultanan Sulu merampas dua anak syarikat Petronas di Azerbaijan yang dikatakan menuntut RM62.59 bilion daripada kerajaan Malaysia.
Peguam pihak yang menuntut dilaporkan merampas aset Petronas didaftarkan di Luxembourg, Petronas Azerbaijan (Shah Deniz) dan Petronas South Caucasus.
Laporan itu menyebut, tindakan merampas Petronas Azerbaijan (Shah Deniz) dan Petronas South Caucasus itu sebahagian daripada tindakan undang-undang dikemukakan pada 2017 oleh waris Sulu untuk mendapatkan pampasan terhadap tanah di Sabah yang didakwa dipajak oleh nenek moyang mereka kepada sebuah syarikat perdagangan British pada 1878.
Bagaimanapun, Petronas dalam kenyataan menganggap tindakan diambil terhadap dua anak syarikatnya yang menerima notis “Saisie-arret” sebagai tidak berasas dan akan terus mempertahankan kedudukannya.
Gergasi petroleum negara itu berkata, kedua-dua anak syarikat itu, melupuskan semua aset di Republik Azerbaijan dan hasil daripada pelupusan telah dipulangkan dengan sewajarnya.