
Walaupun nama individu itu tidak dilaporkan, kenyataan itu dikeluarkan beberapa jam selepas pelawak Rizal van Geyzel dilaporkan ditahan berhubung tiga video yang dikatakan menyentuh sensitiviti kaum dan agama.
Menurut Setiausaha Polis Noorsiah Mohd Saaduddin, penahanan itu dibuat di sekitar Lembah Klang.
Noorsiah berkata, suspek yang disiasat Unit Siasatan Jenayah Terkelas D5 Bukit Aman – juga disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.
Katanya, permohonan reman terhadap suspek akan dibuat esok dan kertas siasatan akan dihantar kepada Jabatan Peguam Negara bagi tindakan seterusnya.
Polis bagaimanapun tidak mendedahkan identiti suspek.
Awal hari ini, dilaporkan pelawak, Rizal ditahan bagi membantu siasatan berkait tiga video yang dikatakan menyentuh sensitiviti kaum dan agama.
Peguam Rizal, Ramkarpal Singh, berkata pengasas bersama Crackhouse Comedy Club itu akan bermalam di lokap Dang Wangi.
Penahanannya muncul sehari selepas dua individu dituduh di mahkamah kerana menghina Islam dan memuat naik kandungan menghina di media sosial, susulan persembahan kontroversi dalam komediri.
Awal hari ini, Mufti Pulau Pinang Wan Salim Wan Mohd Noor, menggesa pihak berkuasa menguat kuasa garis panduan memastikan pemilik kelab komedi dan orang ramai berkunjung ke situ sentiasa memelihara batas-batas moral serta agama
Katanya, pihak berkuasa agama seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) perlu menasihati masyarakat Muslim agar sentiasa menghormati kesucian agama mereka dan tidak dijadikan bahan mainan atau gurauan.