Kabinet setuju draf RUU anti-lompat parti, kata Wan Junaidi

Kabinet setuju draf RUU anti-lompat parti, kata Wan Junaidi

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) berkata pembentangan dan perbahasan RUU itu dalam sidang Parlimen diteruskan seperti dirancang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata Jemaah Menteri tidak membangkitkan sebarang persoalan dan bersetuju mengenai RUU anti-lompat parti. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kabinet sebulat suara bersetuju termasuk tiada persoalan dibangkitkan berhubung draf Rang Undang-Undang (RUU) anti-lompat parti yang akan dibentangkan pada sesi Parlimen akan datang, bermula 18 Jul.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Wan Junaidi Tuanku Jaafar, memaklumkan perkara itu selepas ia dibentangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri, semalam.

Katanya, sehubungan itu pembentangan dan perbahasan draf RUU tersebut dalam sesi mesyuarat kedua Parlimen akan diteruskan mengikut garis masa seperti dirancang.

“Jawatankuasa Pilihan Khas Menimbang Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 dan Mengenai Peruntukan Larangan Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti yang dilantik oleh Dewan Rakyat pada 11 Mac 2022 telah memuktamadkan pindaan kecil dalam draf penyata, pada 12 Jul dan mengesahkan draf penyata berkenaan.

“Pemakluman mengenai draf RUU dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada 13 Jul 2022 berjalan lancar melalui suatu nota Jemaah Menteri dan tiada persoalan dibangkitkan serta nota itu dipersetujui sebulat suara oleh Jemaah Menteri,” katanya dalam kenyataan.

Mengulas lanjut, Wan Junaidi berkata, pihaknya turut memaklumkan bahawa surat rasmi sudah dikemukakan kepada Speaker Dewan Rakyat Azhar Harun, bagi mendapatkan kelulusan pembentangan RUU itu.

Beliau turut mengulangi komitmen kerajaan untuk bacaan kali kedua draf RUU tersebut diadakan pada 27 dan 28 Jul, semasa sesi Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Parlimen Ke-14, tertakluk kepada budi bicara speaker Dewan Rakyat.

Pada 11 Jul, Wan Junaidi berkata, RUU tidak memerlukan kepada kelulusan Jemaah Menteri kerana RUU berkenaan berada bawah tanggungjawab Parlimen dan Jawatankuasa Pilihan Khas yang diberi tanggungjawab mendraf dan menghalusinya.

Minggu lalu, dilaporkan beberapa ahli politik cuba melengahkan RUU itu agar tidak diluluskan sebelum PRU akan datang, supaya mereka boleh melompat parti selepas pilihan raya.

Sebelum ini, Wan Junaidi turut berkata, beliau berharap RUU anti-lompat parti dapat dibentang dan dilaksanakan sebelum pilihan raya umum.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.