
Katanya, keputusan itu dicapai dalam perbincangan antara pihaknya bersama beberapa agensi seperti DBKL, Pejabat Tanah dan Galian (PTG), Tenaga Nasional Berhad (TNB), termasuk wakil penduduk.
“DBKL memaklumkan bahawa PTG telah meluluskan Lesen Kependudukan Sementara (TOL) untuk DBKL bagi kawasan rentis TNB yang kini menjadi tapak Kebun-Kebun Bangsar.
“DBKL memberi kebenaran untuk Kebun-Kebun Bangsar terus beroperasi, dengan menyenaraikannya semula di dalam senarai Local Agenda 21 (LA21). Kebun-Kebun Bangsar diingatkan untuk sentiasa patuhi peraturan dan syarat-syarat berkait aktiviti di atas tanah tersebut,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Sebelum ini, tular di laman sosial berhubung notis pemberitahuan mengosongkan tapak di Lorong Bukit Pantai 4, di Bangsar yang dibangunkan projek pertanian.
Kebun-Kebun Bangsar dibangunkan di tapak seluas 8.5 ekar sejak lima tahun lalu sebagai projek komuniti. Menggunakan khidmat sukarelawan, mereka menanam sayuran, buah dan bunga, untuk kegunaan golongan miskin.
Pada 28 Jun, Pengarah PTG Wilayah Persekutuan Muhammad Yasir, menjelaskan berlaku pelanggaran syarat TOL bagi maksud nurseri di kebun itu sehingga menyebabkan notis pengosongan terpaksa dikeluarkan.
Yasir dilaporkan berkata, kebun terbabit memelihara pelbagai binatang ternakan seperti ayam, itik dan biri-biri, sekali gus menimbulkan isu membabitkan pencemaran bau, lalat serta gangguan bunyi yang menjadi punca utama tindakan penguatkuasaan.
Langkah yang dilakukan Pusat Komuniti Kebun-Kebun Bangsa sebelum ini juga mendapat pujian daripada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob kerana ia diusahakan sendiri oleh masyarakat setempat.